Jangan Sesekali Cuba Gugat Hak Umat Islam Di Malaysia

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
KITA menyokong Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menegur tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu berbanding institusi agama Islam. Peringatan itu dibuat dalam khutbah Aidiladha pada 24 September lalu.

Dalam teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Mufti Ne­geri Pahang itu, umat Islam dinasihatkan supaya terus bersatu-padu walaupun berlainan ideologi politik. Ini bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.

Ingatan itu bertepatan dengan suasana politik negara hari ini. Umat Islam disuruh bersatu-padu dan jangan berpecah-belah. (Rujuk Ali-Imran: 103)

Oleh itu, kita memahami kekecewaan Abdul Rahman apabila Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menggesa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah tersebut atau berdepan tindakan undang-undang.

“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman kami dan meminta kami memohon maaf,” kata mufti itu.

Soalnya, sejak bila tugas menasihat umat Islam agar kembali berpegang kepada ajaran Allah dan jangan menjadikan orang kafir sebagai teman setia dengan meninggalkan orang mukmin menjadi kesalahan.

Walhal suruhan itu termaktub dalam ayat al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman..." (Ali-Imran: 28)
Dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan: (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kedudukan Islam memang lebih tinggi daripada agama lain dan tidak ada persamaan dalam perkara ini. Perlembagaan di mana-mana negara di dunia pun dianggap undang-undang dasar tertinggi.

Yang sepatutnya berlaku adalah ketentuan ini yang disokong dan diterima pakai oleh kontrak sosial mesti dijunjung oleh setiap rakyat. Bukan hanya orang Islam atau Me­layu sahaja. Ini adalah teras kepada jalinan hubungan antara kepelbagaian etnik dan agama di negara kita.

Pada asasnya, hubungan Islam dengan agama lain adalah didasari oleh wasatiyyah atau kesederhanaan. Ini pula perlu ditafsir dengan tepat. Islam menuntut dalam persoalan akidah tidak boleh paksa pihak lain terima akidah Islam. Ini ditegaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: 
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam).” (Al-Baqarah: 256)
Sebab itulah penganut bukan Islam di Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama mereka dengan damai. Tetapi dalam bab kehidupan bernegara, kita semua terikat dengan undang-undang. Bagi orang Islam kita terikat dengan syariat Allah.

Yang menjadi masalah apabila tuntutan-tuntutan yang dikemukakan bukan berpunca daripada kehilangan hak. Sebaliknya hendak merebut hak orang lain (Islam). Dalam masa sama nak menggugat kedudukan Islam sebagai agama bagi negara.

Islam memang mengajar umatnya bersikap moderate. Namun jangan lupa Islam juga mewajibkan kita mempertahankan agama sehingga ke tahap sanggup syahid.


Sumber: Utusan