“Jika khutbah sebagai nasihat tidak boleh, teruklah. Akhirnya agama ini tertindas,”. Demikian antara penegasan Mufti Pahang, DATUK SERI DR. ABDUL RAHMAN OSMAN ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia di kediamannya di Kuantan berhubung isu kandungan teks khutbah solat sunat Aidiladha di Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada wartawan, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan SHAHRINNAHAR LATIB serta jurugambar MAHATHIR ALI, beliau memberitahu, khutbah berkenaan mengingatkan umat Islam agar menghayati konteks ibadah sunat korban yang dituntut Islam yang dapat melahirkan perpaduan dalam masyarakat hari ini.
Menurut Abdul Rahman, ketegasannya dalam isu berkenaan kerana ia melibatkan urusan agama Islam yang tidak sewajarnya "diusik" oleh DAP.
“DAP jangan suka sentuh agama, kita nampak umat Islam terlalu sensitif sekarang. Mungkin sampai satu masa nanti akan ada keluar fatwa menghalang orang Islam masuk parti yang menentang bukan Islam,” kata beliau.
MINGGUAN: Mengapa isu perpaduan umat Islam disentuh dalam khutbah solat sunat Aidiladha baru-baru ini?
ABDUL RAHMAN: Sempena Aidiladha kita melihat orang yang menunaikan haji di Mekah, seluruh umat Islam berkumpul dan bersatu hanya tujuan kerana Allah SWT. Kita dapati dalam al-Quran pun menyuruh supaya kita bersatu. Sebenarnya Islam dari segi ibadahnya bermula dengan bersatu. Sebagai contoh, solat. Kalau solat berjemaah itu adalah lebih baik. Penyatuan dalam Islam itu amat penting.
Kemudian lihat dari segi kalendar Islam itu sendiri yang bermula dari Awal Muharram iaitu bermulanya Rasulullah SAW diperintah oleh Allah SWT supaya berhijrah ke Madinah. Umat Islam bersatu, orang yang ada kekuatan iman bersama Rasulullah. Apabila sampai di Madinah, Rasulullah bina masjid untuk penyatuan umat Islam. Kekuatan Islam terletak kepada kekuatan penyatuan umat Islam itu sendiri. Di Madinah, antara sahabat yang berjumpa dengan Rasulullah ialah Abdullah Salam yang asalnya seorang Yahudi.
Apabila Rasulullah sampai di Madinah, Abdullah mengatakan beliau dengar Baginda bersabda "sebarkan salam". Apakah tujuan sebarkan salam? Salam ertinya mendoakan orang yang kita jumpa. Tujuan Rasulullah ke Madinah adalah untuk memupuk perpaduan, suruh bersatu dengan cara memberi salam sahaja. Soal perpaduan disebut kerana kita tidak mahu ada orang Islam hendak bina sebuah negara Islam tetapi bermusuh, ini bukan cara Islam.
Kenapa tajuk ini disentuh dalam khutbah solat sunat Aidiladha kerana pada Aidiladha orang Islam berkumpul di Mekah. Ibadah kemuncak dari Awal Zulhijjah orang datang ke Mekah untuk menunaikan haji. Menunjukkan umat Islam kemuncak daripada sepanjang tahun beribadah dia pergi haji, berkumpul semua umat Islam. Rohnya supaya kita bersatu, ada kekuatan di situ. Kalau umat Islam bersatu, datang berjuta-juta orang, sudah tentu gerunnya orang bukan Islam. Kenapa kita hendak fokus isu perpaduan? Memang kenalah. Kalau Hari Raya Aidiladha di Malaysia sembelih haiwan korban, kita panggil saudara mara melapah daging dan sebagainya. Itu cara menghubungkan silaturahim.
MINGGUAN: Sejauh mana Datuk Seri melihat tahap perpecahan umat Islam di negara ini berikutan sikap lebih mengutamakan parti politik seperti disebut dalam khutbah?
ABDUL RAHMAN: Kita nampak umat Islam di Malaysia ketara sangat perpecahannya. Antara sebabnya kerana lebih mengutamakan politik daripada agama. Contohnya, kalau benar-benar orang itu berkehendakkan Islam, kenapa berpecah menjadi parti lain. Mengapa hendak berpecah, ini menunjukkan ada kepentingan diri, kepentingan mahu memerintah. Kalau tiada kepentingan begitu, dia tidak kisah siapa sahaja yang penting Islam maju.
Apa yang saya maksudkan adalah bersatu, tidak usahlah berpecah. Kemudian ada pula yang pergi masuk parti yang bukan Islam. Sepatutnya sudah cukup yang kita bersatu. Kita ini peratusan besar, kira-kira 60 peratus. Kalau kita bersatu, kita tidak perlu orang lain, cuma masuk sedikit sahaja kaum lain. Apabila umat Islam tidak bersatu, kita khuatir kita kalah, tidak ada kuasa untuk memerintah.
Saya petik satu ayat dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 28 yang bermaksud, “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat mereka dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.” Maksudnya di sini, bukan ayat ini melarang berkawan dengan orang bukan Islam. Menjadi teman rapat maskudnya menjadikan dia ketua kita sehingga apa kata dia semua kita ikut. Itu yang kita tidak mahu.
Apabila kita sudah sayang dengan dia, orang sentuh parti kita, kita marah sedangkan kadangkala kita tidak sedar orang yang kita marah itu orang yang menyentuh orang Islam, isu agama dan lain-lain. Ini ayat jelas. Perlembagaan kita antaranya menyebut Islam adalah agama Persekutuan. Apabila kita bercakap apa sahaja tentang agama, tak boleh kita katakan hasutan. Kalau dalam Islam, Rasullullah menyebut Islam itu tinggi dan tiada mengatasinya, kita boleh cakap.
Kalau kita cakap seperti itu dianggap seolah-olah menghina agama lain, tidak. Negara kita negara Islam, sebab itu kita kena cakap seperti itu. Kita bebas untuk bercakap dalam konteks kalau ada al-Quran dan nas Rasulullah.
MINGGUAN: Namun, DAP melihat kandungan khutbah itu berunsur fitnah yang kononnya didakwa menuduh parti tersebut sebagai menentang Islam.
ABDUL RAHMAN: Kita mengatakan "malahan ada dalam kalangan orang Islam yang masuk parti yang menentang Islam". Kita fokus kepada parti itu, bukan fokus kepada orang masuk itu supaya mereka akan lebih berfikir. Kita memberi peringatan berdasarkan kepada ayat itu. Kita menyatakan DAP banyak benda yang diperjuangkan dan polisinya bertentangan dengan agama kita.
Dalam objektif politiknya mahu ubah Malaysia menjadi sebuah negara sekular, kita negara Islam. Sebelum ini menentang hukum-hakam Islam seperti hudud. Siapa sahaja orang Islam kalau kata seperti itu kita akan marah, kita tidak mahu bersekongkol.
MINGGUAN: Bagaimana dengan tuntutan DAP supaya Jabatan Mufti Pahang memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang?
ABDUL RAHMAN: Dalam Islam, orang yang bersama menyokong perjuangan Islam kita kena hormat mereka. Seperti berlaku pada zaman Saidina Umar apabila melihat seorang Yahudi yang merempat dan tidak mendapat apa-apa bantuan. Umar sendiri ke tempat simpanan gandum dan memikulnya sendiri untuk diberikan kepadanya.
Itu pimpinan Islam yang menghormati sesiapa sahaja untuk bersama dalam masyarakat Islam. Ini sepertimana yang kita lihat di Malaysia seolah-olah tiada beza antara satu sama lain yang berbilang kaum serta agama.Berhubung tuntutan DAP itu, kita tidak akan sesekali menarik balik khutbah, kita tidak akan minta maaf dan kita bersedia kalau ada apa-apa tindakan seperti saman. Khutbah ini diterbitkan menerusi ahli Jawatankuasa Khutbah Pahang yang dilantik majlis agama di bawah perkenan Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku ketua agama dan raja pemerintah.
Ertinya keputusan setiap penerbitan khutbah dibuat secara teliti dan mengambil masa. Kita sudah fikir panjang dan ditapis. Selepas dipersetujui, baru diterbitkan. Ertinya kalau nak saman, saman majlis agama di bawah tuanku.
MINGGUAN: Apakah tindakan DAP membangkitkan isu ini dilihat mahu mencampuri urusan agama Islam?
ABDUL RAHMAN: Memang jelas dalam kandungan khutbah ini adalah nasihat kepada umat Islam. Oleh itu, apa sahaja yang ada kaitan agama, kita nasihat tidak ada salah. Jika khutbah sebagai nasihat tidak boleh, teruklah. Akhirnya agama ini tertindas. Ini bererti mereka memang hendak mengganggu pentadbiran Islam. Saya tidak pernah lagi mendengar dalam sejarah negara, ada orang menyentuh pasal khutbah.
Ini adalah kali pertama saya rasa. Jika menyentuh hal agama Islam ini, mereka juga menyentuh hal Perlembagaan. Ini kerana agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan ia tidak boleh disentuh. Kalau kita pertikaikan agama Islam ini memang tidak boleh. Orang lain tidak boleh cabar, orang lain tidak boleh mengusik.
Tetapi nampaknya dia mahu mengusik agama kita. Itulah saya sangat sedih, lebih-lebih lagi orang Melayu yang duduk bersekongkol dengan parti ini. Saya rasa hari ini terbukti bahawa tidak ada parti lain yang marah walaupun disentuh, hanya DAP sahaja yang tidak berpuas hati.
MINGGUAN: Datuk Seri kelihatan sangat bertegas dalam perkara ini?
ABDUL RAHMAN: Memang saya bertegas dalam hal-hal membabitkan agama. Takkanlah tidak boleh hendak sampaikan sesuatu yang baik. Kalau kita tarik balik, itu akan menafikan khutbah itu sendiri sebagai satu daripada rukun. Solat sunat Aidiladha tidak lengkap kalau tidak ada khutbah.
MINGGUAN: Banyak sokongan diterima daripada pelbagai pihak, apakah mesej yang Datuk Seri lihat daripada sokongan ini?
ABDUL RAHMAN: Saya nampak di situ ada penyatuan dalam kalangan umat Islam yang bersatu kerana agama. Sebab itulah kalau kita hendak maju kita mesti bersatu kerana agama. Kalau bersatu tentang sukan, mungkin bersatu masa sukan itu sahaja. Tetapi agama ini, selagi dia umat Islam, selagi dia Islam, selagi dia beriman orang tidak boleh sentuh. Apa-apa yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam orang tidak boleh sentuh.
DAP jangan suka sentuh agama, kita nampak umat Islam terlalu sensitif sekarang. Mungkin sampai satu masa nanti akan ada keluar fatwa menghalang orang Islam masuk parti yang menentang Islam. Dari segi syarak memang jelas, tidak tahu setakat ini, tetapi kemungkinan kita akan bawa kepada jawatankuasa fatwa untuk memikirkan tentang ini, saya rasa kita boleh. Saya rasa penguat kuasa agama boleh mengambil tindakan terhadap DAP.
Bahagian penguat kuasa boleh cuba lihat adakah enakmen-enakmen yang boleh kita saman dia pula. Saya rasa ada satu enakmen yang menyebut apabila ada pihak yang menghina pihak berkuasa agama ini dan apabila sesuatu perkara yang diputuskan dalam majlis agama Islam, orang yang mempertikaikan boleh diambil tindakan.
MINGGUAN: Terbaharu, DAP tangguh hasrat hendak saman dan ingin berjumpa dengan Datuk Seri. Boleh komen?
ABDUL RAHMAN: Saya rasa perkara ini tidak perlu lagi dibincangkan kerana apa yang diperkatakan dalam khutbah itu sudah jelas dan tidak perlu dibincangkan perkara sama. Mereka sepatutnya berjumpa saya dahulu sebelum isu ini dibangkitkan. Sebagai orang yang hendak menghormati agama, sepatutnya apabila dia tidak tahu, dia datang berjumpa saya. Kita tidak fitnah parti itu. Kita sebagai orang Islam jika kita lihat perkara itu mungkar, kita kata itu mungkar, itu bukan fintah, kenapa pula hendak fitnah.
Saya juga tidak pernah menyatakan bahawa orang yang masuk DAP itu menentang Islam sebaliknya apa yang dikatakan adalah parti itu yang menentang Islam. Namun, jika mereka mahu mengadakan perjumpaan juga, mereka perlu berjumpa dengan semua ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Pahang yang menerbitkan khutbah di negeri ini. Tetapi sebelum itu kena mendapat perkenan Sultan Pahang dahulu kerana baginda adalah Ketua Agama Islam bagi negeri ini.
Kita tidak ada kena mengena dengan parti politik, tidak ada seorang pun dalam jawatankuasa ini merupakan ahli politik. Khutbah ini apabila siap barulah dipersembahkan kepada Sultan Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk melihatnya. Pada masa penghasilan khutbah itu, mereka tidak tahu pun, apabila siap barulah kita beri kepada mereka untuk melihat. Kalau tidak faham dengan institusi agama, minta jumpa kita dahulu daripada buat kenyataan bukan-bukan, memalukan saya kata.
Sumber: Utusan