Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan video proses penyembelihan lembu secara tidak halal yang sedang diviralkan di media sosial.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Dr. Kamaruddin Md. Isa berkata, video tersebut boleh mengelirukan dan meragukan pengguna kerana didakwa berlaku di Malaysia.
“Video menunjukkan proses stunning dan bukannya proses penyembelihan. Proses stunning menggunakan alat pneumatic stunner tidak terdapat di rumah sembelih Malaysia. Oleh demikian, klip video ini berkemungkinan besar menggambarkan keadaan di luar negara.
“Dalam proses penyembelihan sebenar, penyembelih akan melakukan proses penyembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam dengan membaringkan ternakan, memutuskan halkum dan dua salur darah karotid. Video yang ditunjukkan tidak dapat digunakan untuk menentukan sama ada proses penyembelihan halal atau sebaliknya dilakukan kerana tiada proses penyembelihan ditunjukkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Kamaruddin berkata, pihaknya merumuskan `pneumatic stunner’ yang dipaparkan di dalam video tidak digunakan di Malaysia.
Menurutnya, ia juga tidak digunakan oleh semua pusat penyembelihan di India yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia untuk mengeksport daging ke Malaysia.
“Semua pusat di India yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia adalah untuk pengeksportan daging kerbau sahaja. Sebaliknya video menunjukkan ternakan lembu yang mana turut dilarang penyembelihannya di India,” katanya. -Kedahnews.com