Sebahagian jari tangan kanan mangsa hampir hancur selepas mercun yang digunakan untuk menghalau kumpulan monyet meletup di Kampung Ayer Paabas, dekat Alor Gajah. - Foto STR/Arifin Salleh |
Malang bagi seorang warga emas apabila mercun bola yang digunakan untuk menghalau monyet meletup ketika dalam genggamannya di Kampung Ayer Paabas, Alor Gajah, Melaka, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu mengakibatkan sebahagian jari tangan kanan mangsa, Yahya Ngah, 64, hancur.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan tidak tahan dengan bunyi bising sekumpulan monyet yang berkeliaran di belakang kediamannya ketika sedang berehat di serambi rumah.
Mangsa kemudiannya bertindak mencampak sebutir mercun bola sebelum ianya tersangkut pada genggaman tangannya lalu meletup.
Isterinya, Fatimah Mohd Ghani, 61, berkata ketika kejadian dia berada di dapur untuk menyediakan air panas buat suaminya.
“Tiba-tiba saya terdengar letupan, menjenguk ke luar dan dapati suami terbaring di atas tanah dalam keadaan tangan berdarah.
“Suami kemudiannya bangun dan berlari masuk ke dalam rumah sebelum rebah di atas lantai. Suami mengatakan mercun terbabit meletup dalam genggamannya,” katanya kepada Harian Metro.
Berikutan itu, mangsa dibawa oleh jirannya ke Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka. – Kedahnews.com