ANTARA pondan yang ditahan dalam operasi JAWI. |
Kuala Lumpur - Percubaan kali pertama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menggunakan motosikal ketika operasi pondan di sekitar ibu negara lewat malam kelmarin membuahkan hasil selepas berjaya menahan 14 orang yang dikesan menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Dalam operasi selama lima jam itu, ternyata tugas anggota penguat kuasa menggunakan motosikal untuk memantau pergerakan pondan di Lorong Haji Taib, Jalan Ipoh dan Pasar Pudu menjadi lebih mudah kerana mereka tidak dapat melarikan diri seperti siri operasi sebelumnya.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAWI Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, sebanyak enam motosikal yang baru diterima pihaknya digunakan untuk membantu operasi besar-besaran memburu pondan di sekitar ibu negara dalam usaha membanteras kegiatan terbabit.
Katanya, sasaran utama pihaknya kini ialah untuk mencapai pondan sifar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi membersihkan beberapa lokasi yang dikesan menjadi tumpuan pondan untuk ‘berniaga’ sejak beberapa tahun lalu.
“Ini kali pertama kita menggunakan motosikal dalam operasi. Alhamdulillah, nampaknya berkesan.
"Kita juga mahu memastikan kawasan di ibu negara tidak dicemari dengan perbuatan terkutuk oleh orang Islam dan kita yakin boleh mencapainya dalam masa terdekat berdasarkan beberapa operasi berkala yang dilakukan.
Sumber: myMetro