Jemaah Haji Dari Sarawak Dijangka Tiba Pada 7, 8 Dan 14 Oktober Ini

Gambar Hiasan
KUCHING - Para jemaah haji dari Sarawak dijangka pulang secara berperingkat-peringkat pada 7, 8 dan 14 Oktober ini setelah kira-kira 40 hari berada di tanah suci, Al-Haramain, bagi menunaikan haji di Mekah musim ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, terdapat kira-kira 850 orang jemaah haji termasuk jemaah haji 1Malaysia dari Sarawak yang telah terpilih menunaikan haji pada tahun ini.

“Jemaah haji dari Sarawak telah menyelesaikan Masyair (operasi Arafah Mina), rukun terpenting dalam haji iaitu wukuf di Arafah.

“Pada waktu ini, mereka sedang menunggu untuk Tawaf Haji Wada,” katanya yang dipetik dari sumber media tempatan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Daud menjelaskan bahawa secara keseluruhannya jemaah haji Sarawak berada dalam keadaan baik, sihat dan memuaskan.

Walau bagaimanapun katanya, terdapat dua jemaah yang telah meninggal dunia iaitu Suhai Abang, 64, dari Kampung Benyoh, Kuching dan Saamah Latif, 69, dari Kampung Muara Tuang, Samarahan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lanjut berhubung perkara itu.

“Semua berita dan maklumat yang kami terima adalah daripada keluarga dan petugas haji,” katanya lagi. - Kedahnews.com