Jemaah Masjid Hutan Kampung Merayu Pasang Papan Tanda

Pengurusan Masjid Hutan Kampung memohon supaya pihak berkenaan dapat meletakkan papan tanda bagi mengelakkan pengguna membawa kenderaan dengan laju.
ALOR SETAR - Jemaah Masjid Hutan Kampung merayu pihak bertanggungjawab memasang papan tanda atau lampu keselamatan bagi mengelak pengguna membawa kenderaan dengan laju terutama ketika melalui jalan di hadapan masjid itu.

Setiausaha masjid, Ramli Md Noor berkata, jemaah yang ingin ke masjid itu terpaksa berhati-hati berikutan bimbang dengan kenderaan yang sering dipandu laju.

Menurutnya, keadaan itu berlaku sejak kerja pembesaran masjid bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah pada 15 tahun lalu sehingga menyebabkan laluan semakin sempit.

"Keadaan semakin sesak apabila jalan di Hutan Kampung menjadi laluan utama ke bandar Alor Setar dari Jitra. Ia bertambah serius apabila tiba waktu puncak.

"Pada waktu petang, seramai 300 murid mengikuti kelas Kafa akan melintas jalan untuk pulang dan ini sangat membimbangkan walaupun terdapat orang yang menolong mereka melintas," katanya.

Ramli berkata, bulan lalu ada seorang penduduk dilanggar kenderaan lain hingga keretanya rosak apabila dia cuba membelok masuk ke kampungnya.

"Jemaah yang datang waktu malam juga terdedah risiko kemalangan kerana ramai pemandu dari luar tak sedar adanya masjid dekat kawasan itu," katanya.

Katanya, oleh kerana jalan lurus, pemandu mengambil kesempatan dengan membawa laju kenderaan mereka hingga tidak peka keselamatan orang lain.

"Walaupun ada garisan kuning, tapi ia tak mampu kurangkan kelajuan kenderaan pengguna.

"Oleh itu, saya harap pihak berkenaan dapat meletak papan tanda atau lampu keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan ini," katanya

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hutan Kampung, Ramli Mei berkata, masalah yang dihadapi jemaah masjid itu semakin serius ketika murid Kafa pulang dari sekolah dan ia juga sering jadi laluan keluar masuk penduduk.

"Saya akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda di sepanjang jalan berdekatan masjid supaya pemandu dapat mengurangkan kelajuan mereka ketika melalui jalan ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian