#Jerebu Di Kedah: Penjaja Kecil Turut Terjejas Jualan, Kesihatan


KULIM - Kebanyakan penjaja kecil di tepi jalan turut terjejas berikutan masalah jerebu teruk yang melanda di kawasan itu.

Peniaga ayam goreng, Latipah Che Meh, 50, berkata, pendapatan mereka sedikit terjejas apabila kebanyakan pelanggan tidak lagi memberhentikan kenderaan untuk membeli makanan di tepi jalan.

Menurutnya, jika sebelum ini ayam goreng dan air yang dijualnya pasti habis terjual pada jam 5 petang, namun kini dia terpaksa membawa pulang lebihan makanan yang tidak habis.

"Kalau dulu ramai yang akan singgah beli makanan yang saya jual. Ada yang memang datang hanya untuk beli ayam goreng saya.

"Tapi sekarang dah ramai yang tak berhenti sebab jerebu. Pendapatan pun sudah tidak seperti dulu," katanya.

Bagi peniaga kuih, Wanimallah Mat Salleh, 41, berkata, bukan sahaja pendapatan terjejas, malah dia juga menerima kesan akibat jerebu yang melanda.

“Bayangkanlah kami peniaga tepi jalan ini memang terdedah terus dengan jerebu. Tempat terbuka, tapi inilah punca pendapatan nak teruskan hidup.

“Saya pun tak tahu, mungkin pelanggan makin berkurang sebab fikir jerebu ini akan bagi kesan pada makanan yang kami jual,” katanya.

Menurutnya, jerebu pada tahun ini paling teruk pernah dilaluinya sehingga menyebabkan daya penglihatan kabur pada jarak dekat.

“Seingat saya ini paling teruk, nak tengok jarak dekat pun dah tak berapa nampak. Mata pun habis sakit. Saya harap pihak kerajaan dapat lakukan sesuatu,” katanya.

Manakala, Maizatul Madihah Awang Su, 40, berkata, jualannya masih seperti biasa, namun kesihatannya mulai terjejas akibat terdedah dengan jerebu dalam tempoh lama.

“Alhamdulillah setakat ini pisang goreng saya laku seperti biasa tapi masalah kesihatan saya pula, tekak memang kering dan mata pula pedih.

“Jadi saya ambil langkah minum air masak banyak-banyak, topeng muka saya tak pakai sebab susah juga nak buat kerja seperti ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian