Peniaga, Nurul Shuhaida Fawzi (kiri) melayan pelanggannya yang mahu membeli topeng muka yang semakin laris sejak berlakunya jerebu. |
ALOR SETAR - Keadaan jerebu membawa rahmat kepada beberapa pemilik farmasi di kawasan ini hingga barangan simpanan seperti topeng muka habis dijual dalam masa dua hari sahaja.
Pemilik farmasi, Mohd Amilin Osman, 35, dari Hutan Kampung berkata, kemelut jerebu itu menyebabkan orang ramai mulai menyedari tentang bahayanya semasa berada di luar kawasan rumah.
“Sebelum ini topeng muka tiga lapis selalunya mengambil masa hampir sebulan baru habis dengan menjual dengan harga 80 sen setiap satu. Bagaimanapun dengan keadaan jerebu ini saya mampu menjualnya dalam masa dua hari sahaja.
“Begitu juga dengan topeng muka N95 yang sesuai untuk digunakan oleh petani semasa meracun yang dijual dengan harga RM6 setiap satu. Oleh kerana keadaan jerebu semakin serius orang ramai sanggup membelinya dan barangan itu juga turut laris dijual dalam masa yang singkat,” katanya.
Menurut Mohd Amilin, pihaknya terpaksa menempah terus dari kilang kerana bekalan topeng yang sudah kehabisan dan difahamkan topeng itu akan sampai pada Khamis nanti.
Katanya lagi, walaupun barangan itu sangat diperlukan, pihaknya tetap menjual mengikut harga yang ditetapkan kerajaan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dalam keadaan jerebu yang semakin serius.
Selain dari topeng muka, beberapa ubat seperti ubat batuk, asma dan penyakit kulit turut mendapat permintaan yang tinggi sejak berlakunya jerebu sekarang ini.
"Permintaan yang tinggi ubat ini juga menyebabkan stok simpanan semakin berkurangan dan ramai ibu bapa membelinya supaya anak-anak mereka yang menghadapi penyakit seperti itu dapat sembuh segera.
"Bagaimanapun pihak kami tidak akan menjual ubat batuk sewenangnya kepada orang ramai dan kami bimbang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam keadaan jerebu ini," katanya.
Katanya, pemeriksaan ke atas pesakit akan dijalankan terlebih dahulu untuk mengenal pasti mereka menghadapi masalah batuk atau tidak sebelum menjual ubat batuk berkenaan.
"Walaupun permintaan tinggi tetapi kami masih mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan tidak menjual dengan begitu bebas sekali,” katanya.
Sementara itu, Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong menasihatkan orang ramai perlu peka dengan mengambil inisiatif mendapatkan topeng muka di farmasi terdekat tanpa menunggu ia diedarkan secara percuma.
Sumber: Sinar Harian