#Jerebu: Indonesia Akhirnya Akur, Sedia Terima Bantuan Dari Luar

PRESIDEN Joko Widodo yang lebih mesra disebut Jokowi telah mengumumkan kesediaan Indonesia untuk menerima bantuan pihak antarabangsa dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah ladang yang menyebabkan beberapa negara di Asia Tenggara diselubungi jerebu.
JAKARTA – Indonesia akhirnya bersetuju menerima bantuan antarabangsa dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah ladang yang menyebabkan beberapa negara di Asia Tenggara diselubungi jerebu.

Sebelum ini media tempatan melaporkan, republik tersebut berkeras menyatakan bahawa masalah berkenaan mahu ditanganinya sendiri, namun kesan yang berlaku selepas itu adalah sebaliknya malah jauh lebih teruk lagi.

Situasi berkenaan menyebabkan beberapa negara jiran iaitu Malaysia, Singapura dan terkini, Thailand mengalami pencemaran udara terburuk yang memaksa penutupan sesi persekolahan dan acara awam di tempat terbuka.

Bencana tahunan akibat daripada kerja-kerja pembakaran tanah ladang secara haram itu diburukkan lagi dengan impak cuaca global susulan fenomena El Nino yang mencetuskan keadaan panas kering di seluruh Indonesia.

Jakarta telah mengerahkan sekitar 25,000 anggota dan sejumlah pesawat untuk ‘melawan’ kebakaran di wilayah Sumatera Selatan dan Kalimantan yang paling buruk terjejas, tetapi usaha mereka itu jelas masih tidak memadai.

Ketegangan meruncing antara Jakarta dengan tetangganya, termasuk tindakan beberapa rangkaian pasar raya di Singapura menarik balik jualan produk kertas keluaran syarikat dari Indonesia yang didakwanya punca jerebu.


Dalam sebuah mesyuarat Kabinet republik itu di sini pada Rabu, Presiden Joko Widodo yang lebih mesra disebut Jokowi telah mengumumkan kesediaan Indonesia untuk akhirnya menerima bantuan pihak antarabangsa.

“Telah dipersetujui bahawa kami akan kerjasama dengan beberapa rakan dalam usaha mengekang kebakaran hutan. Kami bekerja dengan beberapa negara,” kata juruckap Kementerian Luar, Armanatha Nasir kepada AFP.

Tambahnya, negara-negara yang mungkin boleh terlibat untuk membantu Indonesia dalam menangani masalah jerebu itu ialah Malaysia, Singapura, Rusia, Australia dan China, namun setakat ini ia belum lagi dimuktamadkan.

“Kaedah bantuan yang diperlukan ialah seperti bom air dan pembenihan awan memandangkan kawasan terjejas kali ini adalah jauh lebih luas berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya. – Agensi