JAKARTA – Kebakaran hutan dan tanah pertanian masih terus marak di sebahagian besar Indonesia meskipun 23 Oktober, genap berakhirnya tempoh dua minggu diberikan oleh Presiden Joko Widodo untuk memadamkan api.
Media tempatan melaporkan lebih 3,000 tompok panas dikesan sejak Khamis malahan ada beberapa tempat yang terjejas akibat jerebu mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara mencecah 3,000 antaranya di Palangkaraya.
Ibu kota wilayah Kalimantan Tengah di selatan pulau Borneo yang diasaskan pada 1950 lalu dengan penduduk kini lebih 220,000 orang itu menjadi viral di seluruh dunia susulan isu jerebu cukup tebal dan berwarna kuning pekat.
Justeru mulai Jumaat (23 Oktober 2015) semua sekolah di kawasan Sumatera dan Kalimantan yang mengalami keadaan jerebu amat teruk diarahkan presiden Indonesia itu untuk ditutup demi menjaga kesihatan murid-murid.
Menurut laporan media tempatan, sekolah-sekolah tersebut kemungkinan besar akan ditutup selama sebulan sehingga masalah jerebu berkenaan berjaya ditangani sepenuhnya dan kembali normal oleh pihak yang terlibat.
Justeru, Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu juga telah mengarahkan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, Anies Baswedan supaya segera memberi penjelasan lengkap tentang langkah-langkah selanjutnya.
Ini kerana penutupan secara mengejut sekolah-sekolah tersebut untuk tempoh yang lama mungkin menjejaskan persiapan pelajar terbabit bagi membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun pada bulan depan.
Jokowi pada 10 Oktober lalu, telah memberi tempoh selama dua minggu untuk Badan Pengurusan Bencana Nasional memadam kebakaran hutan, yang turut menyebabkan jerebu teruk di beberapa negara Asia Tenggara. – Agensi