Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menggesa semua majlis atau aktiviti luar bangunan di kawasan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 dibatalkan atau ditangguhkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika majlis itu perlu juga diadakan maka ia perlu diadakan di dalam bangunan untuk mengelakkan bahaya jerebu.
“Orang ramai diminta mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai. Basuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan aktiviti luar.
“Sila pastikan udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih mod kitaran udara dalaman. Banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah |
Noor Hisham dalam pada itu mencadangkan kepada mereka yang mampu supaya memasang alat pendingin hawa dan penapis udara di rumah terutama penapis udara berkecekapan tinggi.
Menurutnya, penapis seperti itu lebih baik untuk menghalang kebanyakan partikel halus yang berkaitan dengan asap dan seterusnya boleh mengurangkan jumlah pencemaran udara dari luar rumah masuk ke dalam rumah.
“Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan bertambah teruk,” katanya.
Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my. -Kedahnews.com