Susulan dari pelbagai maklumat dan spekulasi berkaitan ‘jerebu kuning’ serta bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tidak benar telah disebarkan dan menjadi viral di media sosial, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara tersebut.
JAS menyatakan, Indeks Pencemar Udara (IPU) merupakan petunjuk status kualiti udara semasa sama ada baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat atau berbahaya dengan mengambil kira tempoh pendedahan pencemar udara kepada kesihatan awam.
Indeks Pencemar Udara (IPU) di Malaysia merupakan pengukuran kesan kepekatan lima (5) pencemar udara utama (habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10), karbon monoksida, (CO), sulfur dioksida (SO2), nitrogen dioksida (NO2) dan ozon di permukaan bumi (O3) terhadap kesihatan manusia yang normal dan dalam jangka masa pendedahan tertentu. Semasa jerebu, kepekatan pencemar yang paling tinggi adalah habuk halus dan bacaan habuk halus ini yang memberikan bacaan IPU ketika jerebu.
Selain habuk halus kandungan pencemar utama yang berkemungkinan adalah karbon monoksida (CO) disebabkan pembakaran tidak lengkap terhasil dari kebakaran tanah dan hutan yang berpanjangan. Hasil pemantauan oleh JAS sepanjang jerebu ini, bacaan kepekatan karbon monoksida (CO) adalah rendah dan kurang dari “Recommended Malaysia Air Quality Guidelines” iaitu di bawah 30 ppm (1 jam) atau 35 mikrogram per meter padu (1 jam). Oleh itu, ia tidak menyebabkan fenomena jerebu berwarna kuning.
Sehingga jam 5.00 petang hari ini, 20 Oktober 2015, terdapat 25 buah kawasan yang mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat. Walau bagaimanapun, bacaan IPU di 25 buah kawasan tersebut masih berada di bawah paras 200, dengan Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat bacaan IPU terkini dan rasmi di laman web JAS di alamat url http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar MyIPU di ‘Google Play’ atau ‘App Store’. -Kedahnews.com