Gambar Hiasan |
KEMAMAN – Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman yang dibuka pada Jumaat untuk semua penerbangan, hari ini kembali ditutup apabila jarak ketampakan kembali merosot akibat jerebu.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur Zamri Mohamad berkata jarak ketampakan pada 7 pagi adalah 200 meter dan ini sangat berbahaya bagi pelepasan dan pendaratan pesawat.
“Hari Jumaat dan Sabtu, operasi di lapangan terbang ini kembali beroperasi seperti biasa apabila jarak ketampakan melebihi 1,000 meter dan semalam jarak ketampakan yang dicatatkan pada awal pagi ialah 3,000 meter,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sejak Isnin lepas, 11 penerbangan helikopter yang membawa kru luar pantai syarikat minyak dan gas di daerah berkenaan terjejas setiap hari membabitkan pertukaran kru lebih 300 orang dan operasi pesawat Malindo Air dan Firefly juga terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang di Kuantan dan Kuala Terengganu.
Di KUALA NERUS, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu satu penerbangan Firefly terpaksa dibatalkan dan lima penerbangan Malindo Air dan Firefly ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang terpaksa dilewatkan sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Pengurus LTSM, Dr Ahmad Ramli Mahmood bagaimanapun berkata operasi di LTSM masih berjalan lancar kerana jarak ketampakan adalah 1,500 meter.
“Tiupan angin berdasarkan kedudukan geografi LTSM yang berada berhampiran laut menyebabkan jarak ketampakan masih lagi dalam keadaan baik, bagaimanapun kami sentiasa memantau keadaan ini setiap jam,” katanya. – BERNAMA