#Jerebu: Mahdzir Sah Semua Sekolah Di Kedah Ditutup Esok (Khamis)

Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Semua sekolah di negeri Kedah diarahkan supaya ditutup esok (Khamis, 22 Oktober 2015) ekoran peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap melebihi 120 di seluruh kawasan di negeri berkenaan.

Pada bacaan pukul 6 petang, IPU di Alor Setar adalah pada paras 159, Sungai Petani 158 dan paling buruk adalah di Langkawi dengan bacaan IPU setinggi 167.

Perkara berkenaan turut disahkan oleh Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid, dengan menyiarkan kenyataan media kementerian yang beliau ketuai di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Selain Kedah, turut dimaklumkan bahawa sekolah-sekolah di Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang dan Perlis perlu ditutup esok atas sebab yang sama.

Manakala di peringkat daerah pula menyaksikan arahan tersebut turut melihatkan kawasan Bentong di Pahang serta bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong di Sarawak.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lewat petang Selasa.

Penutupan itu melibatkan sejumlah 4,778 buah sekolah dan seramai 2,696,110 orang murid di semua negeri dan daerah yang terlibat.

Kementerian Pendidikan turut menggesa pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing berhubung penutupan ini dengan kadar segera.

Sementara itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah termasuk pengurusan sekolah di seluruh negara turut diminta supaya sentiasa memantau bacaan IPU yang dikeluarkan pihak berwajid dari semasa ke semasa.

"Sekiranya berlaku peningkatan tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat, maka pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing seperti yang ditetapkan KPM," menurut kenyataan itu. -Kedahnews.com