#Jerebu Maki Teruk, Indonesia Pertimbang Isytihar Darurat Di Seluruh Negara

PEMANDANGAN jambatan Kahayan di Palangkaraya, tengah Kalimantan semalam yang masih diselubungi jerebu berwarna kuning.
Jakarta - Kerajaan Indonesia mempertimbang untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara ekoran kebakaran hutan, punca jerebu yang melanda rantau ini semakin sukar dikawal.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla semalam berkata, kerajaan meningkatkan usaha untuk memadamkan kebakaran hutan yang tercetus lebih dua bulan lalu.

“Masalah ini terlalu besar.

“Kami kini mempertimbangkan langkah itu,” katanya yang merujuk kepada pengisytiharan darurat.
Menurutnya, perkara itu bakal diputuskan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) apabila beliau pulang dari lawatan ke Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.

Kelmarin, Jokowi mengumumkan bahawa beliau memendekkan lawatan pertamanya ke AS dan akan terus ke kawasan yang terjejas akibat jerebu.

“Beliau lebih menumpukan masalah dalam negara,” kata Jusuf mengenai keputusan Jokowi membatalkan lawatan ke Lembah Silikon di AS bagi rundingan pelaburan dengan eksekutif Apple dan Google.

Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan kebanyakannya berpunca daripada aktiviti pembersihan hutan oleh syarikat perladangan.

Baru-baru ini kebakaran hutan merebak ke kawasan baru termasuk di Papua dan keadaan semakin buruk akibat kemarau yang berpanjangan.

Katanya, 40 juta penduduk Indonesia di lima wilayah terjejas akibat jerebu.

Sementara itu, pembantu Jusuf, Wijayanto Samirin berkata, keputusan menjadikan krisis itu satu darurat kebangsaan membolehkan kerajaan mempercepatkan proses pemerolehan aset pemadam api dari negara luar.

Agensi bencana kebangsaan kelmarin memberitahu, jerebu kini merebak sehingga ke pulau Jawa.
Indonesia juga menghantar kapal perang untuk memindahkan kanak-kanak dan golongan pesakit di kawasan yang terjejas teruk dengan jerebu. -Reuters