#Jerebu: Malaysia Guna Aset TUDM Bantu Padam Kebakaran Hutan Di Indonesia

Bombardier CL-415 MP
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan mengatur gerak aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Indonesia seawal hari ini untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu bagi menangani jerebu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bantuan itu yang diselaraskan beliau dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan digerakkan ke kawasan-kawasan perhutanan di sekitar Palembang dan Selatan Sumatera.

Beliau berkata TUDM akan menggerakkan aset Bombardier CL-415 MP yang boleh bergerak di darat dan air untuk misi ke Indonesia.

“Pasukan Malaysia bersama pesawat Bombardier siap sedia diterbangkan ke Indonesia petang ini, bergantung kepada koordinasi bersama Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Koordinasi Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata pesawat Bombardier berkeupayaan menjatuhkan 6,137 liter air dalam tempoh 12 saat ketika terbang dengan kelajuan 130km per jam di kawasan sasaran yang ditentukan pihak berkuasa Indonesia.

Katanya buat masa ini, fokus bantuan yang dipohon Indonesia adalah melibatkan sebuah pesawat yang berkeupayaan memadamkan kebakaran di kawasan yang luas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tiba untuk mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto BERNAMA
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO turut menyelar pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahukan siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercepatkan.

Katanya itu merupakan saranan daripada Majlis Raja-Raja Melayu kepada kerajaan yang selama ini menekankan siasatan itu sama ada dalam peringkat kepimpinan tertinggi dan kabinet.

“Itu (siasatan 1MDB) bukan perkara baharu. Memang kami melakukan siasatan itu dari peringkat awal lagi dan mana-mana pihak yang didapati salah laku tidak terkecuali daripada dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – BERNAMA