Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid |
PUTRAJAYA – Semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, daerah Kuching dan Samarahan di Sarawak, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah serta Muar, Ledang dan Segamat di Johor ditutup esok akibat jerebu.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu melibatkan 3,029 sekolah dan 1,909,842 murid.
Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan pemantauan sehingga pukul 1 tengah hari tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi kebanyakan kawasan berkenaan masih berada pada tahap tidak sihat.
“Beberapa kawasan dan daerah juga didapati menunjukkan trend peningkatan pada bacaan IPU,” kata kementerian itu.
Hari ini sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, daerah Kuching dan Samarahan serta Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak ditutup akibat jerebu.
Setakat pukul 4 petang ini, sebanyak 16 kawasan masih berada pada paras IPU tidak sihat dengan bacaan tertinggi dicatatkan di Seremban iaitu 193, Baru Muda, Kuala Lumpur (165), Banting (162), Nilai (155), Putrajaya (154). -Bernama