Jerebu Teruk, Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Ditutup Sementara


ALOR SETAR – Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sementara bermula pukul 7 pagi ini akibat Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang sangat tidak sihat pagi ini.

Pengurus LTSAH, Puteh Ramli berkata operasi penerbangan akan dibuka semula sekiranya jarak ketampakan naik semula ke paras 600 meter dan pemantauan akan dijalankan setiap 10 minit.

“Jarak ketampakan di LTSAH ketika ini berada di bawah paras minimum 550 meter,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap syarikat Malindo Air berkata penerbangan dari Alor Setar-Subang yang dijadualkan pada pukul 11.25 pagi akan ditunda pada pukul 2.30 petang selepas landasan dibuka semula.

“Hanya satu penerbangan Malindo Air hari ini dan ia tidak dibatalkan dan hanya ditunda sehingga landasan dibuka semula,” katanya.

Jurucakap Malaysia Airlines Berhad pula ketika dihubungi berkata semua penerbangan pagi akan dibatalkan dan penerbangan seterusnya akan diteruskan sekiranya lapangan dibuka semula.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Alor Setar sehingga pukul 8 pagi tadi berada dalam kategori sangat tidak sihat iaitu 218 manakala Sungai Petani 237 dan Langkawi pada 230. – BERNAMA