Jumlah Taska Kurang, Pihak Swasta Diharap Buka Lebih Banyak

Gambar Hiasan
KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta lebih banyak syarikat swasta mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja masing-masing bagi menampung kekurangan kemudahan itu di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata sejumlah 164 buah taska diwujudkan di tempat kerja di seluruh negara sehingga bulan lepas dengan hanya 32 buah daripadanya di sektor swasta.

Daripada jumlah taska di sektor swasta, 11 terdapat di Selangor, Kuala Lumpur (8), Terengganu (5), Pahang (3), Johor (2) dan masing-masing sebuah di Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan, katanya.

"Kami harap lebih banyak majikan sektor swasta menggunakan pelbagai insentif termasuk geran dan potongan cukai yang disediakan oleh kerajaan untuk membuka taska masing-masing," katanya pada sidang media selepas sesi dialog berkaitan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di sini, semalam.

Bagi mengatasi masalah kos sewa premis yang mahal dan lokasi, pihaknya sedang membincangkan cadangan menubuhkan taska di bangunan bertingkat (aras dua dan ke atas).

Chew berkata dalam cadangan itu, aspek keselamatan diutamakan dengan penekanan terhadap latihan kebakaran secara berskala diwajibkan bagi petugas, penyelia, pengasuh dan kanak-kanak.

"Penglibatan pekerja tetap sebagai petugas khas terlatih untuk mengawal bencana penting untuk memastikan keselamatan sekitar taska terjamin," jelasnya.

Beliau berkata taska berkenaan juga perlu mewujudkan ruang perlindungan di bangunan bertingkat untuk menempatkan kanak-kanak secara sementara sebelum diselamatkan oleh anggota keselamatan. - BERNAMA