Jurgen Klopp Hanya Akan Ke Anfield Jika Diberi Kuasa Pilih Pemain


LONDON - Jurgen Klopp memberitahu Liverpool yang dia hanya akan datang ke Anfield bagi menggantikan Brendan Rodgers jika diberi kuasa pemutus bagi proses perpindahan pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. 

Daily Mail Online dalam laporannya sebentar tadi berkata, pengendali berkarisma dari Jerman itu kini menjadi pilihan utama Liverpool untuk menggantikan Rodgers yang dipecat semalam oleh pemilik kelab itu menerusi telefon sejurus selepas The Reds seri 1-1 dengan Everton di Goodison Park. 

Difahamkan Klopp dan Liverpool sudah pun berhubung dan kelab EPL itu teruja untuk melantiknya tatkala dia yang tidak terikat dengan mana-mana kelab dikatakan sebagai punca kepada keputusan pemecatan Rodgers yang sudah diputuskan seminggu lalu itu. 

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu berminat datang ke Anfield, namun memberitahu kelab itu dia tidak akan mematuhi arahan jawatankuasa perpindahan yang membuat keputusan buruk dalam tempoh dua tiga tahun lalu. 

Klopp memberitahu Liverpool dia gembira menerima nasihat dan cadangan mengenai pemain tetapi pengendali itu mahu kata putus dibuat oleh dirinya. Ini adalah antara keistimewaan yang tidak dinikmati Rodgers sepanjang bersama kelab itu sebelum ini. - AGENSI