SEORANG jurukamera wanita warga Hungary yang kehilangan kerja selepas mencetuskan kemarahan seluruh dunia kerana menendang seorang lelaki pelarian Syria yang sedang mendukung anaknya, bakal berpindah ke Rusia.
Petra Laszlo dikatakan bakal berbuat demikian setelah kes perbicaraan selesai kerana berasa terancam tinggal di Hungary.
Selain itu, Laszlo yang merupakan bekas kakitangan stesen N1TV bakal menyaman pelarian Syria yang ditedangnya, Osama Abdel Mohsen Alghadab.
Memetik laporan akhbar Rusia, Laszlo memberitahu, tindakan itu bakal diambil ekoran pelarian Syria tersebut telah menukar keterangannya kerana pada awalnya Osama menyalahkan pihak polis.
Dia juga bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Facebook, susulan tidak membuang laman page yang mengancam dan mengutuknya menerusi laman tersebut.
Pada 8 September lalu, Laszlo dirakam menendang beberapa pelarian Syria termasuk Osama ketika mereka sedang melarikan diri dari pihak polis di sempadan Röszke, Serbia.
Osama Abdel Mohsen Alghadab |
Akibat tindakan biadapnya itu, dia dicemuh seluruh dunia dan menghadapi tuduhan jenayah di bawah dakwaan melanggar keamanan.
Laszlo juga dikatakan adalah penyokong kuat parti Jobbik di Hungary, di mana salah satu ideologi penubuhan parti tersebut adalah menentang kemasukan migran.
Sebelum ini Laszlo mendakwa, tindakan itu dilakukan kerana dia panik dengan keadaan yang berlaku ketika itu. – Agensi