Juruterbang Sakit, Meninggal Dunia Ketika Kendali Pesawat Di Udara


NEW YORK – Sebuah pesawat American Airlines dengan 147 penumpang di dalamnya terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di sini pada Isnin setelah juruterbang tiba-tiba jatuh sakit dan kemudian meninggal dunia.

Akhbar tempatan, The New York Times melaporkan kejadian berlaku apabila kapten pesawat jenis Airbus A320 itu maut di tengah perjalanan penerbangan dari Phoenix, ibu negeri Arizona ke Boston, ibu negeri Massachusetts.

Jarak antara dua bandar raya besar itu ialah 3,687 kilometer dan ekoran tersebut, pesawat berkenaan dilaporkan terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Syracuse Hancock, iaitu sejauh 423 kilometer dari Boston.

Menurut pegawai penerbangan awam Amerika Syarikat (AS), pembantu kapten segera ambil alih tugas selepas menyedari juruterbang itu maut dan berjaya mendarat di Syracuse pukul 7.13 pagi (7.13 petang waktu Malaysia).

“Dukacita dimaklumkan bahawa juruterbang kami meninggal dunia. Kami sangat sedih dengan kejadian ini dan menyampaikan simpati terhadap keluarga kapten itu,” kata American Airlines dalam satu kenyataan media.


Bagaimanapun syarikat itu dan pejabat penerbangan persekutuan AS enggan mendedahkan kepada umum nama juruterbang malang penerbangan 550 tersebut atau maklumat terperinci mengenai penyakit dialami oleh mangsa.

Insiden jarang sebegini pernah menimpa seorang juruterbang yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba dan kemudian terus meninggal dunia ketika dalam penerbangan di ruang udara AS pada 2009.

Ia berlaku sewaktu pesawat Continental Airlines membawa 247 penumpang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di sini apabila kaptennya maut tanpa amaran.

Siasatan pihak berkuasa AS mendapati juruterbang pesawat itu yang berusia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung, tetapi mujur pembantu kapten cepat bertindak mengambil alih kemudi kapal terbang tersebut.

Dua bulan sebelumnya, seorang penumpang mendaratkan sebuah pesawat persendirian berenjin dua di Lapangan Terbang Antarabangsa Southwest Florida di Fort Myers ekoran juruterbang maut sejurus baharu berlepas.


Penumpang tersebut, yang kebetulan memang telah dilatih sebagai juruterbang kapal terbang jenis ringan, menjadi ‘wira’ apabila dia berjaya menyelamatkan empat nyawa yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Pada Januari 2007, seorang kapten Continental Airlines untuk penerbangan 757 dari Houston, Texas ke Puerto Vallarta, Mexico, dengan membawa 210 penumpang di dalamnya, meninggal dunia setelah pesawat itu berlepas.

Penerbangan tersebut bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat setelah dilencongkan oleh pembantu juruterbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa McAllen-Miller di Texas. – Agensi