Nina, 24, salah seorang pengunjung yang hadir di program 'Halal Speed Dating' di Kuala Lumpur. - Foto AFP |
Sememangnya perasaan cinta, mahu menyayangi dan rasa disayangi adalah fitrah bagi semua manusia.
Malangnya, tidak semua pasangan bercinta yang beragama Islam mampu menjaga batas-batas pergaulan yang disyariatkan sehingga boleh terjerumus ke dalam lembah maksiat.
Atas dasar itu, satu program yang dikenali sebagai ‘Halal Speed Dating’ diwujudkan dengan tujuan menggalakkan orang ramai mencari jodoh dengan cara terhormat dan berlandaskan Sunnah.
Malah, kesemua peserta dinasihatkan agar membawa pengiring sama ada wali, mahram atau rakan sejantina yang boleh dipercayai ketika menghadiri acara ini.
Ternyata, platform mencari jodoh ini mendapat sambutan hangat selepas dua kali dianjurkan di Kuala Lumpur iaitu pada sekitar bulan Mei dan terbaharu, 3 Okt lalu.
Salah seorang peserta, Siti, 29, yang merupakan seorang pereka grafik mengakui hadir ditemani ibu bapanya untuk bertemu dengan peserta lelaki yang diharapkan sesuai untuk menjadi calon suaminya.
“Saya menyertai acara ini untuk mencari lelaki yang boleh dijadikan teman hidup kerana sebelum saya banyak meluangkan masa dengan keluarga,” ujarnya yang tidak lagi menjalinkan hubungan cinta selepas tamat pengajian universiti.
Difahamkan, selepas menyertai acara ini, peserta yang menjumpai pasangan sesuai akan mendapatkan persetujuan ibu bapa kedua-dua belah pihak sama ada bersetuju untuk menuju ke peringkat seterusnya dan berkahwin.
Menurut panganjurnya Zuhri Yuhyi, acara ini telah berjaya menyatukan 14 pasangan yang bakal mengakhiri hubungan mereka ke jinjang pelamin tidak lama lagi.
Selain mencari jodoh, program ini turut berkongsi beberapa nasihat mengenai alam perkahwinan. -Kedahnews.com