Kahsmir Lumpuh Akibat Lelaki Sembelih Lembu Dibunuh Pelampau Hindu

JENAZAH Zahid diusung ke tanah perkuburan untuk dikebumikan di selatan Kashmir, semalam. Ribuan orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Srinagar - Kegiatan seharian di Kashmir lumpuh kelmarin ekoran mogok umum dan perintah berkurung yang dilaksanakan berikutan kematian seorang lelaki yang mati selepas diserang sekumpulan pelampau Hindu berkait dengan penyembelihan lembu.

Penganut Hindu menganggap haiwan itu suci kerana menjadi sumber bekalan susu dan penyembelihannya diharamkan di hampir semua negeri di India.

Premis perniagaan, sekolah dan kedai di Kashmir ditutup semalam selepas mogok umum dianjurkan kumpulan pemisah anti-India dan peniaga bagi membantah pembunuhan Zahid Rasool.

Ribuan penduduk yang menghadiri upacara pengebumian remaja berkenaan di Kampung Botengo di selatan Kashmir melaungkan slogan anti-India, menuntut wilayah itu dibebaskan dari pemerintahan New Delhi.

Zahid dan pemandu trak dibakar perusuh selepas kenderaan mereka ditahan di kawasan yang dikuasai pelampau Hindu.

Pelampau Hindu berusaha mendesak kerajaan mengharamkan penjualan daging lembu di negara itu sejak parti Bharatiya Janata di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi mula berkuasa tahun lalu.

Bulan lalu, seorang lelaki Islam berusia 50 tahun dibunuh pelampau Hindu di Delhi selepas khabar angin mendakwa keluarganya makan daging lembu. -Agensi