Kamera Baru Mampu Kesan Nombor Plat Kenderaan Dengan Saman Tertunggak

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Dalam satu strategi terkini terhadap pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak, polis akan mula menggunakan 20 kamera dilengkapi sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR) dalam tempoh dua bulan akan datang.

Kamera itu, yang boleh dipasang di mana-mana kereta polis dapat mengesan mana-mana kereta yang lalu, dan mempunyai saman tertunggak dalam pangkalan data Bukit Aman melalui pengesanan nombor pendaftaran.

Polis kemudian dapat menghentikan kenderaan itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu.

Kamera-kamera itu akan ditempatkan di kawasan strategik, termasuk sembilan pintu masuk dan keluar ke dalam negara.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, polis akan mengkaji untuk membuat kesan perubahan yang lebih besar terhadap pesalah trafik tegar sebaik sahaja kamera ini diperolehi.

"Sebanyak 1.06 juta saman tertunggak masih belum diselesaikan dan kita mahu menurunkan angka ini," katanya.

Kenderaan yang digunakan dalam aktiviti jenayah juga akan dapat dikesan.

"Selain menggunakan kamera ANPR untuk mengesan pemandu ingkar, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik juga akan mendapat manfaat daripada penggunaan sistem ini," kata Mohd Fuad kepada pemberita di Bukit Aman, Isnin.


Beliau berkata perkakas menangkap imej ANPR boleh dipasang pada mana-mana kereta polis yang difikirkan sesuai.

"Sistem ini telah direka supaya kamera dapat diletakkan di papan pemuka kenderaan kita dan menyasarkan kenderaan di hadapan.

"Apabila kenderaan lalu, kamera akan merakam imej nombor plat dan menghantarnya ke pangkalan data polis.

"Jika nombor plat itu didapati mempunyai sebarang saman, maka sistem akan memberitahu kakitangan kita dan mereka boleh membuat penangkapan atau mengambil langkah-langkah sesuai," katanya.

Mohd Fuad berkata sistem itu akan membolehkan polis bekerja lebih bijak dan mengelakkan kesesakan disebabkan sekatan jalan raya.

Katanya, mereka juga boleh meletakkan sistem itu pada kereta polis yang tidak diketahui.

Fasa pertama ANPR akan menelan kos RM30 juta dan peranti itu akan disambung kepada pelayan berpusat di Bukit Aman.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 4,940 kemalangan maut telah direkodkan berbanding 5,138 kes dalam tempoh yang sama pada 2014.

"Walaupun kematian telah dikurangkan, kita percaya terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.

"Setiap kematian adalah serius untuk kita dan kita ingin melihat kemalangan maut berlaku pada kadar sedikit yang mungkin," katanya.

Mohd Fuad berkata lima negeri dengan kes tertinggi kemalangan adalah Selangor (104,105), Johor (49,814), Kuala Lumpur (47,942), Pulau Pinang (29,734) dan Perak (26,928).

Sumber: mStar