Seorang remaja, dengan mukanya diselindungi ‘ghutrah’ hitam dan putih berkata, dia bosan dengan perkataan ‘rundingan.’
“Kami akan terus menyerang tentera Israel dengan batu,” katanya berhampiran sekatan jalan raya di bandar Ramallah, Tebing Barat, tempat puluhan remaja Palestin berkumpul setiap hari sepanjang dua minggu lalu.
“Pihak Berkuasa Palestin melarang kami berbuat demikian kerana mereka memilih berunding. Tetapi kami perlu berkata tidak. Kami perlu buktikan kami tidak bersetuju,” kata remaja yang baru berusia 18 tahun itu. Bantahan ganas dan beberapa siri serangan menggunakan senjata tajam mencetuskan kebimbangan di Israel dan menggambarkan kemungkinan ia intifada atau kebangkitan ketiga rakyat Palestin.
Yang nyata, perjuangan kali ini diketuai generasi baru Palestin.
Atau dengan kata lain, mereka generasi pasca-Oslo yang membesar selepas kesan daripada perjanjian Oslo pada 1990-an, persetujuan yang menjanjikan begitu banyak kepada penduduk Palestin, tetapi kini dilihat ramai generasi mudanya sebagai satu kegagalan.
Tidak banyak yang mereka tahu mengenai intifadah 1987-1993 dan 2000-2005 yang menyaksikan ratusan terbunuh dalam keganasan yang berlaku hampir setiap hari.
Bagi kebanyakan remaja itu pengetahuan mereka terbatas kepada tembok pemisah merentasi Tebing Barat yang dibina rejim Israel.
Pandangan mereka mengenai Israel ialah mengenai keganasan tentera rejim itu dan pendatang Yahudi yang membina rumah di tanah yang mereka lihat sebagai bakal negara Palestin yang merdeka impian yang ternyata begitu jauh untuk dicapai.
Mereka menyaksikan Kebangkitan Arab dan tiga perang di Gaza sejak 2008 menerusi saluran berita televisyen 24 jam.
Dua pertiga penduduk Palestin berusia bawah 30 tahun. Menerusi media sosial, semangat mereka membara apabila disajikan gambar pejuang syahid dan remaja menyerang tentera Israel dengan batu.
Rakaman tentera Israel menembak mati orang yang didakwa penyerang juga tersebar secara meluas di Internet.
Trend terbaru ialah remaja melemparkan senyuman ke arah jurugambar ketika ditahan, imej yang mencetuskan kemarahan penduduk Yahudi Israel.
Pada majlis pengebumian Ahmed Sharake, 13, yang terbunuh dalam pertempuran di Ramallah, rakannya berebut-rebut untuk mendekati mayatnya.
Rakan sekelasnya Firas, juga 13, berkata: “Kami tidak kisah jika kami tidak bersekolah esok. Yang penting, perjuangan menentang tentera Israel dan pendatang Yahudi di bumi Palestin mesti diteruskan.”
Apabila ditanya mengenai masa depannya, dia selamba menjawab: “Saya rela syahid seperti Ahmed.”
Kajian pendapat bulan lalu menunjukkan lebih separuh penduduk Palestin tidak lagi percaya kepada pembentukan dua negara - Israel dan Palestin sebagai cara untuk menamatkan sengketa.
Majoriti mereka memilih kembali kepada perjuangan bersenjata daripada berunding dengan Israel.
Sejak awal Oktober, lebih 30 penduduk Palestin terbunuh, termasuk yang dituduh penyerang dan ratusan lagi cedera.
Kira-kira 400 yang lain ditangkap, separuh daripada mereka berusia antara 14 dan 16 tahun, menurut Kelab Hak Tahanan Palestin.
Tujuh Yahudi juga mati dan 98 cedera sepanjang tempoh itu, kata rejim Israel.
Pemimpin Palestin berusaha mengawal kekacauan itu.
“Inilah generasi yang menjadi saksi perkembangan penempatan haram Yahudi dan keganasan yang meletus adalah tindak balas kepada politik jahat Israel yang berterusan sejak Oslo,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Saeb Erekat. Ironinya, ramai penduduk Palestin tidak bersetuju Saeb mewakili mereka.
Malah, sebahagian besar penunjuk perasaan Palestin melaungkan kecaman terhadap presiden mereka, Mahmoud Abbas yang dituduh terlalu bertolak ansur dengan tuntutan Israel.
Penulis yang juga penganalisis politik Khalil Shaheen berkata, majoriti penduduk Palestin tidak lagi menghiraukan Pihak Berkuasa Palestin yang diketuai Mahmoud dan yang terbentuk hasil daripada perjanjian Oslo.
“Generasi baru ini menggunakan media sosial untuk menyemarakkan semangat dan menggerakkan perjuangan mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam kalangan penduduk Palestin sebelum ini.
“Mereka bukan saja marah dengan penjajahan Israel, tetapi juga dengan pilihan pemimpin Palestin, termasuk menandatangani perjanjian Oslo,” kata Khalil.
Seorang penduduk di kem pelarian Jazalone berhampiran Ramallah, tempat pengebumian Ahmed Sharake diadakan berkata, golongan muda Palestin kini bertindak sendiri.
“Mereka keluar sendiri. Bukan kami yang arahkan anak kami menentang tentera Israel. Mereka bertindak sendiri kerana mereka diancam pendatang haram Yahudi dan tentera Israel sepanjang hidup mereka,” katanya.
Sumber: myMetro