ALOR SETAR - "Kami suka melihat mereka tersenyum, gembira tengok mereka seronok,", itulah kata wakil Ayam Brand, Marie-Magali Falcoz apabila melihat keletah anak-anak yatim yang diraikan syarikat produk makanan terkemuka itu hari ini.
Membayang rasa puas dengan program kebajikan, Kempen Ayam Brand "Kanak-Kanak Boleh Memasak" yang dianjurkan di sini hari ini, turut memberi tunjuk ajar kepada peserta dari empat buah rumah anak-anak yatim di Kedah dan Perlis.
Program berkenaan menjemput seorang chef selebriti, Chef Loke, untuk memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak yatim tersebut untuk menyediakan empat hidangan ringkas yang mudah berasaskan tuna.
Keterujaan terhadap program tersebut turut dizahirkan oleh para peserta yang amat berterima kasih kerana diberi kesempatan untuk mempelajari perkara baru yang mudah dan memberi manfaat pada mereka.
"Seronok dapat belajar memasak, buat pizza, karipap tuna.. Saya balik nanti saya nak cuba masak lagi, nak bagi mak rasa, " kata adik Nurul Mashitah Mahmud dan Asrama Anak-Anak Yatim Darul Aitam Wal Masaakin, Jalan Langgar, Alor Setar.
Adik Nurul Mashitah Mahmud |
Siti Sarah Shafie yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Perlis, turut meluahkan rasa gembira kerana dapat mencuba resepi baru yang diajar oleh Chef Loke dan mempelajari ilmu menyediakan makanan berkhasiat yang mudah serta ringkas.
Para peserta program berkenaan diajar cara untuk menyediakan empat hidangan Tuna Ayam Brand iaitu Tuna Puff, Tuna Sandwich, Tuna Sushidan Tuna Pizza di dalam satu sesi interaktif yang menyeronokkan.
Pihak Ayam Brand telah menghasilkan resipi-resipi ini dengan lebih memberi fokus pada pemakanan, kesederhanaan dan kemudahan penyediaan serta memberi penekanan pada sumbangan produk tuna kerana kebanyakan rumah kebajikan kekurangan sumber Omega-3 yang baik.
Antara kelebihan Omega-3 ialah ia membantu mencegah penyakit jantung koronari, menggalakkan aktiviti saraf yang sihat, meningkatkan penyerapan vitamin, mengekalkan sistem daya tahan badan yang kuat dan menggalakkan pertumbuhan sel.
Selain itu, Omega-3 juga penting dalam perkembangan daya penglihatan dan otak pada kanak-kanak.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Marie yang merupakan warga Perancis itu menjelaskan bahawa program CSR Ayam Brand itu turut menyalurkan bantuan berupa produk-produk syarikat mereka seperti berupa ikan tuna, ikan mackerel, isi jagung, kacang hijau, kepingan pic dan kacang panggang.
Katanya, bantuan bekalan tersebut dianggarkan cukup untuk menampung makanan harian kesemua penghuni rumah selama lebih dua bulan.
Sudah 8 tahun menganjurkan program-program seumpama itu, Ayam Brand tahun ini mensasarkan bantuan kepada 48 buah rumah kebajikan dari seluruh negara, khususnya rumah-rumah anak yatim berdaftar yang kurang berkemampuan. -Kedahnews.com