Kampung Terpencil Di Pinggir Hutan Simpan Beribu-Ribu Pagoda Misteri


Sebuah perkampungan di hutan terpencil di Myanmar, terdapat satu kawasan yang menempatkan sejumlah kuil Buddha yang penuh misteri.

Kampung Indein dianggap sebagai dunia tersembunyi dan satu-satunya jalan ke penempatan itu adalah dengan menaiki bot melalui terusan sempit di Tasik Inle.

Perjalanan menaiki bot sejauh lapan kilometer ke kampung itu hanya boleh dilakukan ketika musim hujan sahaja kerana ketika musim kemarau paras air menjadi terlalu cetek.

Walaupun perjalanan ke kampung ini sungguh mencabar tetapi ia sangat berbaloi untuk dikunjungi. Kampung ini juga terkenal dengan satu kawasan perniagaan tradisional yang dikenali sebagai pasar lima hari.

Pasar ini dibuka lima hari setiap minggu dan penduduk di lima kampung di tasik itu bergilir-gilir setiap hari menjual hasil pertanian mereka.


Berdekatan kampung ini terdapat dua kawasan kuil purba yang dikenali sebagai Nyaung Ohak dan Shwe Inn Thein. Dua kawasan ini sangat misteri kerana mempunyai lebih 1,000 pagoda pelbagai bentuk dan saiz.

Nyaung Ohak terletak berhampiran dengan pelabuhan dan kebanyakan pagoda di tapak ini tidak dibaiki dan hampir runtuh. Setiap pagoda di sini dibina dengan ukiran bermotif dewa dan makhluk mitos lain.

Banyak pagoda di sini mempunyai atap berbentuk panjang yang dipercayai mewakili belalai gajah.

Untuk sampai ke tapak Shwe Inn Thein pula anda perlu berjalan sejauh 700 meter mendaki satu puncak bukit di kampung ini. Di puncak bukit ini terdapat beratus-ratus lagi pagoda yang dipercayai mula dibina pada kurun ketiga.

Dari atas puncak bukit ini pengunjung boleh melihat pemandangan kampung Indein yang menakjubkan. Tapak kuil ini dibina kumpulan sami yang dihantar maharaja India untuk menyebarkan agama Buddha di Myanmar.


Majoriti pagoda di sini mula dibina pada kurun ke-17 dan 18 serta paling awal dipercayai dibina pada kurun ke-14. Dipercayai lebih 1,000 pagoda terdapat di kawasan itu dan ribuan lagi masih tersembunyi di hutan tebal serta tidak diketahui penduduk tempatan.

Banyak pagoda itu kini terbiar tanpa penjagaan sehingga hampir musnah dimamah usia. Walaupun sebahagian pagoda dibaik pulih dengan bantuan dana dari dalam dan luar negara tetapi majoritinya dibiarkan runtuh.

Walaupun aktivis Buddha berusaha menyelamatkan binaan purba ini, sebahagiannya perlahan-lahan hilang tanpa disedari. - Agensi