Orang ramai yang bersama-sama mencari Mohd Syafiq yang dilaporkan hilang. |
PADANG SERAI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Taman Lagenda, di sini, yang dilaporkan hilang kelmarin sudah ditemui selamat berada di kediaman datuknya di Taman Ria, Sungai Petani.
Kejadian tersebut dipercayai hanya disedari ibunya, Norfazilah Anwar, 29, kira-kira jam 7 malam apabila Mohd Syafiq yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pulang ke rumah seperti biasa.
"Saya pelik kenapa abang (Mohd Syafiq) tak balik lagi. Selalu kalau jam 7 mesti dia dah ada dekat rumah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, memandangkan hari semakin gelap dan hujan mulai renyai-renyai, dia mengajak suaminya mencari Mohd Syafiq di sekitar perumahan mereka, namun gagal menemuinya.
"Saya bawa dua anak saya. Kami empat beranak keluar cari ke tempat biasa di bermain tapi tak jumpa. Kami pergi ke pondok Rela tapi tak ada orang," katanya.
Mengimbau kembali kali terakhir sebelum anaknya itu hilang, Norfazilah berkata, Mohd Syafiq ada mengajaknya pulang ke rumah ayahnya di Taman Ria, Sungai Petani kerana tablet yang dihadiahkan kepadanya rosak.
“Semalam (kelmarin) datuk dia ada datang hantar tablet, tapi bila dia nak main tak berfungsi, jadi dia ingat rosak, sebab itu dia ajak balik rumah datuknya.
“Tapi saya cakap nantilah baru balik, sebab tak larat lagipun datuknya baru saja datang. Saya tak sangka pula dia merajuk dan pergi sendiri ke rumah datuknya itu,” katanya.
Norfazilah berkata, Mohd Syafiq ketika itu hanya memakai sehelai baju berwarna putih dan berseluar pendek serta sempat menghantar basikal pulang ke rumah sebelum keluar semula berjalan kaki membawa tablet tersebut.
“Dia berjalan kaki kira-kira satu kilometer dari rumah, ada seorang penunggang motosikal jumpa dan membawa dia ke rumah datuknya. Dia kata dia kenal orang yang tumpangkannya.
“Bila sampai, tak ada orang sebab datuknya ada dengan saya, jadi dia tunggu di luar pagar rumah sehingga jiran menghubunginya kira-kira jam 1.30 pagi. Jiran pun ada ajak dia masuk makan, tapi dia tak mahu, jadi jiran tersebut terpaksa mencari rumah saudara mara yang terdekat untuk dapatkan nombor telefon saya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Lagenda 5A,5A1, Mohd Zhafri Osman berkata, kira-kira 300 penduduk di beberapa taman perumahan dekat sini turut bekerjasama mencari kanak-kanak tersebut bermula jam 9 malam, kelmarin.
“Serata pelosok kami cari, dalam ladang kelapa sawit, sekitar loji dan banyak lagi tempat. Saya terkejut dan berbangga ramai yang membantu dan menunjukkan semangat muhibah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian