Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Satu sistem kawal selia khusus diperlukan untuk menyelaras penggunaan dan penjualan rokok elektronik (e-rokok), menurut seorang pakar dari The Onassis Cardiac Surgery Centre (O.C.S.C).
Penyelidik dan pakar kardiologi utama O.C.S.C, Dr Konstantinos Farsalinos Berkata, kajian mendalam mengenai undang-undang diperlukan untuk e-rokok atau dikenali sebagai vape atau vapor dengan mengambil kira permintaan pengguna dan pada masa sama memastikan keselamatan awam.
“Adalah jelas e-rokok mempunyai ciri-ciri unik dan peranan unik dalam usaha mengurangkan kemudaratan akibat tembakau. Atas sebab ini, sistem kawal selia berasingan daripada produk tembakau dan ubat-ubatan diperlukan,” katanya pada taklimat media mengenai e-rokok oleh pakar dunia mengenai penyelidikan vape di sini semalam.
Bagaimanapun, Dr Farsalinos berkata bahawa adalah penting untuk menjadikan e-rokok sebagai produk yang sah di sisi undang-undang dengan memberi pilihan kepada perokok yang ingin mengurangkan ketagihan nikotin sebagai pengganti kepada penggunaan tembakau konvensional.
Antara lain, beliau menjelaskan e-rokok mempunyai kandungan nitrat dan fenol iaitu (bahan beracun) yang lebih rendah berbanding tembakau konvensional.
E-rokok kini menjadi topik perdebatan dalam kalangan masyarakat yang bimbang dengan kandungan kimia dalam vape, dengan mendakwa ia mempunyai risiko kesihatan yang lebih tinggi berbanding rokok konvensional. – BERNAMA