Karya agung HAMKA, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck |
SALAH sebuah naskhah besar penulis dan pengarang terkenal Indonesia, Hamka, sekali lagi bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Selepas kejayaan pementasan Di Bawah Lindungan Kaabah yang diadaptasi daripada novel penulis yang sama, kini karya agungnya, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ (TKVDW) pula akan direalisasikan di pentas teater di bawah arahan Mohd Azhar Zainal.
Karya yang pernah diadaptasikan ke filem dan kini ke pentas teater ini mengisahkan sebuah cinta agung antara watak utamanya, Zainuddin dan Hayati.
Pementasan hebat ini akan menyaksikan gandingan pelakon baru dan lama tanah air seperti Amar Bahrin, Nabila Huda, Syarul Ridzwan, Karl Shafek, Amyra Rusly, Liza Abdullah, Rusdi Daud, Bohari Ibrahin dan ramai lagi.
Karya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah ini mengisahkan cinta yang terhalang oleh adat yang dipegang di Minangkabau serta perbezaan latar belakang keluarga masing-masing.
Dengan lakonan hebat pelakon utama yang digalas oleh Amar Bahrin (Zainuddin) serta Nabila Huda (Hayati), teater ini menjanjikan suatu kelainan yang boleh memukau hati penonton sama seperti di dalam novel dan filem tersebut.
Amar yang merupakan antara bakat baru yang muncul di pentas teater dan pertama kali muncul di Istana Budaya mengakui ia adalah satu cabaran besar dan menghadapi kesukaran pada mulanya.
“Ini merupakan kali pertama saya di pentas Istana Budaya dan memegang watak utama, jadi komitmen yang saya berikan adalah lebih 100 peratus.
“Apa sahaja jadual dan latihan seperti menyanyi dan menghafal saya akan cuba ikut dan buat kerana saya tiada pengalaman. Orang yang memberi panduan semua itu mempunyai banyak pengalaman,” katanya ketika ditemui selepas majlis pra-tonton semalam.
Sumber Foto: Ahmad Azhar Ahmad Yani |
Beliau juga menunjukkan komitmen dan fokus untuk menjayakan teater ini dengan menolak sekurang-kurangnya 10 tawaran lakonan yang lain.
Selain itu, watak Hayati yang begitu setia dan penuh dengan lemah-lembut serta sopan-santunnya pula akan dijiwai serta diberi nafas oleh bintang yang tidak asing lagi dengan dunia teater, Nabila Huda.
“Walaupun terikat dengan jadual dan komitmen lain sebelum ini, saya tetap memberi fokus kepada watak ini.
“Saya akan minta penerangan awal-awal sekiranya tertinggal ketika latihan, saya juga selalu bawa skrip dan lagu untuk berlatih seorang diri dimana-mana sahaja.” ujarnya.
Namun begitu, tayangan pra-tonton yang diadakan semalam jelas menunjukkan segala persiapan dan pengahayatan watak dari setiap pelakon hampir selesai dan sempurna.
Sumber Foto: Ahmad Azhar Ahmad Yani |
Pelancaran serta tayangan ringkas teater tersebut yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya semalam juga sedikit sebanyak berjaya mengusik hati penonton.
Ia telah memberi gambaran awal bahawa pementasan ini akan memberikan satu kepuasan kepada semua orang yang menontonnya nanti.
Teater ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ akan mula dipentaskan pada 12 Oktober sehingga 18 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Tiket juga dijual dengan harga RM37.10 sehingga RM170.30 yang boleh didapati secara dalam talian di www.AirAsiaRedTic.com. -Kedahnews.com