SIAPA yang tidak kenal dengan Dr. Kasim Ahmad, aktivis sosial dan penganalisis politik tanah air terkenal serta pernah sensasi dengan pelbagai isu kontroversi fahaman anti-Hadith yang dianutinya sejak sekian lama.
Dua tahun lalu, Kassim menjadi bahan berita apabila ditahan Jabatan Agama Islam Kedah kerana dituduh menghina agama Islam dengan mendakwa ada ajaran yang perlu diubah suai mengikut suasana zaman.
Itu kisah lama tetapi hakikatnya masih lagi berulang dan kali ini, menerusi entri terbaharu laman blog kassimahmad pada 28 September lalu, aktivis ini nyata belum berubah apabila mencetuskan isu baharu pula (lihat artikel bawah).
Kassim yang mungkin mahu mengulas isu dua tragedi berdarah pada musim haji minggu lalu menyarankan agar kerajaan Arab Saudi membuka tempoh ibadah fardu rukun Islam kelima itu di luar daripada bulan Zulhijjah.
Hujah beliau kononnya berdasarkan daripada firman Allah dalam ayat al-Quran yang menyatakan ada empat bulan suci takwim Hijrah ditetapkan untuk umat Islam iaitu Zulhijjah, Muharam, Safar dan Rabiul Awal.
Justeru, demi mengelak insiden kesesakan yang boleh menyebabkan kematian jemaah, Kassim mencadangkan agar ibadah haji dipecah kepada empat bulan suci itu sekali gus mengurangkan risiko jika berlaku kecemasan.
Begitulah hebatnya beliau mentafsir kalam suci Ilahi dan sesuai dengan fahaman Kassim sendiri menolak Hadith Rasulullah SAW, mungkin itulah timbul dalil konon Allah SWT membenarkan haji selain bulan Zulhijjah.
Memang betul tiada ayat al-Quran berkenaan bulan haji hanya wajib pada Zulhijjah, namun banyak Hadith Nabi Muhammad SAW menjelaskan ibadah tersebut dilakukan cuma pada bulan itu bermula tahun ke-9 Hijrah.
Malah baginda sendiri menunaikan rukun tersebut setahun kemudian sebelum wafat dan ulama seluruh dunia bersepakat itulah tempoh sebenar pelaksanaan haji manakala di luar waktu itu akan dianggap sebagai umrah.
Bagi yang jahil ilmu agama mungkin boleh tersesat dengan ajaran Kassim ini serta menganggap ia sebagai logik apabila membaca hujah beliau yang sebenarnya cuma berasaskan dalil aqli dan bukannya dalil naqli.
Barang kali ‘bergaduh’ pun tiada gunanya kerana Kassim bukan calang-calang pemikir. Apa kata beliau sendiri menjadi perintis melaksanakan ibadah haji pada tiga bulan suci tersebut? -Kedahnews.com
TRAGEDI DEMI TRAGEDI DI MAKKAH
Dalam masa sedekad yang lalu, kita telah menyaksi banyak tragedi yang mengorbankan beribu jemaah haji waktu melakukan ibadah haji di Makkah. Mengapa jadi begitu?
Mengikut ajaran Quran, haji boleh dilakukan dalam mana-mana satu bulan suci, iaitu dalam bulan Zulhijjah (12), bulan Muharram (1) bulan Safar (2) dan bulan Rabi’al-awal (3).
Jika 2 bilion orang Islam dari seluruh pelusuk dunia datang ke Mekah untuk mengerjakan haji datang dalam mana-mana bulan suci ini, kita akan dapat 500,000 jemaah haji.
Jadi, tidaklah sesak, dan tidaklah akan berlaku rempuhan-rempuhan yang telah berlaku banyak kali. Pihak berkuasa Arab Saudi mestilah mengumumkan kepada masyakat Islam sedunia hal ini.
Malangnya, selama ini jemaah haji menuju ke Makkah untuk melakukan ibadah haj ini dalam bulan Zulhijjah, mengikut Nabi Muhammad yang kebetulan melakukan hajinya dalam bulan itu.
Di sinilah silapnya. Saya amat hairan mengapa tidak ada pemimpin Islam yang menegur kesilapan ini.
Juga ibadah haji diwajib bagi orang Islam seumur hidup sekali saja dengan syarat mereka mampu dari segi kesihatan dan kewangan. Amalan umat Islam tidak mengikut ajaran ini.
Mereka bergolok-bergadai untuk melakukan haji, bukan sekali tetapi berkali-kali! Ini sudah melanggar perintah Tuhan.
Saya juga ingin mencadangkan supaya ibadah haji ini ditadbirkan oleh sebuah badan bebas yang dilantik oleh negara-negara Islam.
Oleh: Kassim Ahmad, penulis bebas Malaysia.
Email: Darul_hikmah333@yahoo.com.my
Sumber: www.kassimahmad.blogspot.com