Kedai Peralatan Komputer Rugi RM21,000 Disamun 2 Lelaki

Gambar Hiasan
IPOH – Sebuah kedai menjual peralatan komputer di Jalan Denai Intan, Bandar Baru, dekat Teluk Intan, kerugian sebanyak RM21,000 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan pisau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 4 petang itu seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun dan seorang pekerja wanita berusia 19 tahun sedang bertugas.

“Ketika dua pekerja itu sedang bekerja, tiba-tiba salah seorang daripada suspek pergi ke arah pekerja lelaki dan mengacukan pisau pada leher serta suspek meminta mangsa untuk tidak membuat bising.

Manakala seorang lagi suspek yang bersenjatakan objek berwarna hitam berdiri di pintu masuk kedai dan minta mangsa tidak membuat bising.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya telah dirampas barang peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek telah mengarahkan pekerja lelaki itu untuk baring di atas lantai manakala pekerja wanita telah dikurung ke dalam tandas sebelum kedua-dua suspek bertindak mengambil barang berharga milik kedai dan kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian. – BERNAMA