Kementerian Pelancongan Cadang Martabat Pelancongan Islamik Di ASEAN

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin
ALOR GAJAH – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mencadangkan agar ditubuhkan jawatankuasa sekretariat dalam kalangan negara ASEAN untuk memartabat pelancongan Islamik.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata inisiatif itu perlu diberi perhatian kerana industri pelancongan Islamik mempunyai pasaran yang sangat besar dan mampu menjana penjana pendapatan tinggi.

“Seramai 1.7 bilion penduduk dunia adalah beragama Islam yang 1.1 billion adalah daripada negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) manakala 240 juta daripada negara ASEAN, maka peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya secepat mungkin.

“Langkah ini juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasar ketibaan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang RM103 bilion kepada ekonomi negara pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kuasa Pengguna 2015 peringkat negeri di sini, semalam.

Beliau berkata cadangan itu telah diutarakan semasa ‘Joint Seminar on Islamic Tourism’ yang dihadirinya di Bandung, Indonesia baru-baru ini.

Mas Ermieyati berkata industri pelancongan Islamik dilihat mempunyai pelbagai cabang perniagaan yang boleh dikembang dan dimajukan termasuk industri makanan halal selain penyediaan pakej dan persekitaran pelancongan yang kondusif dan selesa.

Mengulas lanjut, katanya kebanyakan pelancong beragama Islam yang melancong ke negara ini amat mementingkan persekitaran tempat penginapan mereka terutama melibatkan penjualan minuman keras.

“Justeru kita mengharapkan lebih banyak pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negara ini menawarkan pakej atau menyediakan perkhidmatan berlandaskan Islamik bagi memenuhi permintaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini kira-kira 300 hotel di negara ini telah berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sementara itu, katanya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program perhotelan atau pelancongan disaran agar memperkemas modul pengajaran dan pembelajaran bagi mempersiapkan graduan mereka dalam industri pelancongan Islamik yang dilihat akan berkembang dengan pesat pada masa hadapan. – BERNAMA