Kerajaan Akan Hapuskan Saman AES Fasa Perintis Tidak Lama Lagi?


Kami yakin sekiranya benar jangkaan ini, pastinya ia membawa berita gembira buat 1.6 juta pesalah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) apabila sebuah akhbar tempatan pada Selasa melaporkan kerajaan mungkin bakal menghapuskan saman dikeluarkan tidak lama lagi.

Laporan tersebut yang turut disiarkan oleh portal berita AgendaDaily memetik sumber sebagai berkata, difahamkan pihak berkuasa akan menggugurkan caj yang belum selesai terhadap jutaan pesalah terlibat.

Perkara berkenaan turut membabitkan pelupusan kira-kira setengah bilion ringgit hasil bayaran denda yang dipungut daripada saman AES sejak sistem kamera perangkap laju canggih itu dilaksanakan pada September 2012.

Media tersebut juga melaporkan pihak kerajaan sedang bersiap sedia untuk menggugurkan kesalahan yang telah dirakam oleh AES pada peringkat perintis dalam usaha untuk bergerak ke fasa kedua pelaksanaan selepas ini.

“Tindakan di bawah peringkat awal dibelenggu oleh masalah teknikal yang timbul daripada proses pengumpulan bukti kerana ia tidak dilakukan oleh pegawai daripada agensi penguat kuasa sepatutnya,” kata sumber berkenaan.

“Pihak pertama di pusat kawalan AES yang mengumpul gambar-gambar resolusi tinggi berkaitan segala dakwaan kesalahan trafik khasnya had laju maksimum, ketika peringkat perintis dahulu adalah kakitangan syarikat swasta.


“Walhal peranan pihak pertama untuk kumpul bukti sepatutnya dijalankan polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan bukan kakitangan swasta. Inilah punca undang-undang terhalang,” lapor portal itu memetik sumber.

Untuk rekod, kesalahan yang sudah dirakamkan oleh kamera AES telah pun ‘digantung buat sementara waktu’ sejak Disember 2012 lalu atas alasan teknikal oleh pihak Jabatan Peguam Negara.

Dilaporkan juga kes-kes yang ‘dibekukan’ di mahkamah ketika itu dikenal pasti sebagai penghalang kepada pelaksanaan fasa kedua AES yang akan dijalankan oleh agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Jumlah besar kes mahkamah tertunggak di bawah AES fasa pertama seperti ‘beban’ kepada kerajaan. Kita perlu hapuskan sekarang untuk elak AES menjadi sebuah ‘kapal tenggelam’,” petik seorang pegawai kanan kerajaan.

“Pelaksanaan AES fasa kedua meliputi 350 lokasi pada suku pertama 2016, dijangka menjadi seperti membuka halaman baru. Kali ini kerajaan akan melaksanakannya dengan betul,” kata pegawai tersebut lagi.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad bagaimanapun dilaporkan berkata, pihak kerajaan masih belum lagi membuat keputusan sebarang muktamad berhubung dengan kes AES yang tidak selesai itu. – Agensi