Kerajaan Kaji Kesan Jerebu Terhadap Sektor Ekonomi Negara

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji kesan jerebu terhadap ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri.

“Ada pekerja yang terpaksa mengambil cuti sakit disebabkan jerebu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kimia Timah & Pateri Antarabangsa (ITCSCE) 2015, di sini, semalam.

Terdahulu, Hamim berkata timah menyumbang secara signifikan terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat.

“Perlombongan timah juga merangsang pembangunan ekonomi menerusi pendapatan cukai dan eksport serta menyokong pelaburan dalam pengangkutan dan lain-lain prasarana,” katanya.

Beliau berkata peserta industri harus mengamalkan perlombongan lestari bagi memastikan tiada risiko terhadap alam sekitar dan generasi masa depan tidak terjejas dalam usaha mencari kekayaan dan kemajuan.

ITCSE 2015 berlangsung selama dua hari bermula hari ini, dianjur secara bersama oleh Lembaga (Penyelidikan dan Kemajuan) Perusahaan Timah Malaysia serta ITRI Ltd, UK (dahulu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Timah Antarabangsa).

Bertemakan ‘Towards a Clearer, Safer and Healthier Environment’, persidangan bertujuan membangkitkan kesedaran akan daya tahan serta potensi timah sebagai bahan perindustrian utama dengan masa depan yang cerah, serta kesan besarnya terhadap teknologi hijau, kelestarian serta ekonomi pengguna global. – BERNAMA