Kerajaan Kaji Khidmat Pengangkutan Pelajar Pedalaman Sabah, Sarawak

KAPIT - Kerajaan Persekutuan sedang meneliti cadangan menyediakan khidmat pengangkutan kepada pelajar sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan mereka pulang ke kampung masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu sebagai mengambil iktibar dari insiden menimpa tujuh murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Gua Musang baru-baru ini.

"Insiden Pos Tohoi (di Kelantan) memberi banyak pengajaran yang sememangnya perlu kita ambil iktibar...jangan biarkan kejadian yang sama berulang.

"Justeru, Kementerian Pendidikan sedang meneliti implikasi kos kepada kerajaan dalam usaha menyediakan perkhidmatan (pengangkutan) itu kepada pelajar dan murid di kawasan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media, di sini petang semalam.

Beliau sebelum itu mengikuti taklimat operasi Stesen Janakuasa Hidroelektrik Bakun (Bakun HEPP), di sini yang juga sebahagian daripada atur cara lawatan kerjanya ke wilayah tengah negeri ini.

Selain Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid, turut mengiringi beliau ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek; Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing; dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Zahid berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebelum ini menyatakan kesediaan menyediakan pengangkutan bagi membolehkan pelajar dan murid dalam kalangan Orang Asli pulang ke rumah keluarga masing-masing.

"JAKOA akan memastikan langkah itu dijadikan budaya dan penghantaran anak Orang Asli dari sekolah terus ke rumah masing-masing itu akan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan tiada lagi peristiwa sama berulang.

"Di Sabah dan Sarawak, kita turut mendapati wujud keperluan untuk kaedah sama dilaksanakan agar anak-anak pedalaman ini dapat pulang ke kampung mereka dalam keadaan keselamatan yang terjamin," katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun, Zahid berkata, aspek pendidikan berperanan penting dalam mendukung usaha negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, sistem pendidikan terbaik mampu melahirkan sumber tenaga kerja mahir dalam kalangan anak tempatan yang mampu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dan keperluan industri.

"Justeru, adalah penting untuk memastikan anak-anak kita belajar dalam suasana pembelajaran kondusif bersandarkan kepada sistem pendidikan terbaik melalui penyediaan kemudahan dan kelengkapan yang terbaik, termasuk di kawasan luar bandar," katanya.

Atas faktor itu, Sabah dan Sarawak sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Pusat ke arah penambaikan kemudahan dan infrastruktur pendidikan, terutama di kawasan luar bandar.

"Anak-anak pedalaman juga berhak menikmati kemudahan pendidikan terbaik kerana mereka juga berpotensi menjadi pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.

Sumber: Berita Harian