Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid |
ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan meneruskan usaha menuntut semula bunga emas dan bunga perak yang pernah diberikan kepada kerajaan Bangkok oleh Kerajaan Kedah suatu ketika dahulu.
Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada Seminar Antarabangsa Kedah-Siam, yang akan diadakan di Hatyai, Thailand, 7 Oktober ini.
“Memang ada usaha bawa balik sekurang-kurangnya sepasang, iaitu satu bunga emas dan satu bunga perak. Namun ketika perkara itu disuarakan, kita tidak mendapat maklum balas sama ada permohonan itu ditolak atau sebaliknya,” katanya pada sidang media sempena Seminar Antarabangsa Kedah-Siam; Hubungan Kedah-Siam dalam warna-warna sejarah, di Muzium Negeri Kedah, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Muzium Kedah, Suhaidi Shukri.
Menurutnya, pihaknya akan membangkitkan semula hasrat Kedah itu supaya dapat direalisasikan berikutan bunga emas dan perak adalah lambang hubungan rapat antara Kedah-Siam.
“Saya cuba berbincang dengan pihak Thailand, atas hubungan kekeluargaan, kejiranan dan sejarah supaya bunga emas dan perak berketinggian dua meter, mempunyai empat cabang dengan kuntum bunga berbentuk bunga cengkih dan daun tiruan flora itu, dapat dibawa kembali ke Kedah sebagai kenangan sejarah,” katanya.
Menurutnya, replika bunga emas dan perak yang dipamerkan di Muzium Kedah dibina mengikut saiz sebenar untuk tatapan generasi kini.
Pada 2010, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib membuat permohonan supaya sepasang bunga emas dan perak diserahkan semula kepada negeri-negeri yang pernah menghantar ufti tersebut ke Bangkok dan sepasang lagi daripada Great Britain.
Beliau turut mencadangkan, sekiranya usaha itu gagal, Unesco disaran memberi pengiktirafan bunga emas dan perak itu sebagai warisan bersama kepada kedua-dua negara, khususnya Kedah dan Bangkok.
Sebanyak 28 pokok bunga emas dihantar kepada pemerintah Thailand di Bangkok sebagai tanda persahabatan dua negara.
Menurut Altarikh Salasilah Negeri Kedah penghantaran bunga emas dan perak bermula pada era pra-Islam, di mana kerajaan Thai di Ligor iaitu Nakhonsithamarat membantu Kedah apabila diserang oleh Burma.
Bunga emas dan perak dihantar sebagai tanda terima kasih selain pampasan kerugian kerana membantu Kedah dalam peperangan itu. Pemberian lain termasuk dua kayu kain khasa berkepala benang emas, 12 perisai, 12 tombak, 12 lembing dan 12 kayu kain putih.
Sumber: Sinar Harian