Kerajaan Negeri Kedah Dakwa Empat Projek Tidak Cukup

Bakar (dua, kiri) ketika mendengar forum disampaikan Mohd Azmi (kiri).
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyifatkan agihan projek menerusi Bajet 2016 untuk negeri ini adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan negeri lain yang melibatkan peruntukan berbilion ringgit. 

Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, pihaknya masih mendahagakan lebih banyak projek mega dibina di negeri ini. 

“Kedah hanya dapat pembinaan Hospital Pendang, sekolah berasrama penuh di Pendang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sik dan projek bandaraya getah (rubber city) yang dicadangkan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu. 

“Kita hanya dapat empat projek tapi perspektif negeri merasakan agihan itu tidak cukup berbanding pembangunan baru yang diberikan kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian pada forum Post Budget 2016 anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Ekonomi dan Dasar Kewangan di TH Hotel, di sini, semalam. 

Turut hadir Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid; Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin dan Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM, Prof Dr Asan Ali Golam Hassan selaku moderator. 

Dalam perkembangan lain, Bakar juga mencadangkan supaya hasil kutipan GST turut diagihkan kepada kerajaan negeri. 

“GST merupakan rejim baru percukaian. Difahamkan, kerajaan pada tahun depan dianggarkan mendapat RM36 bilion unjuran cukai pendapatan daripada GST. 

“GST dikenakan kepada semua orang. Modalnya sepatutnya adil sebab dalam kerajaan persekutuan ada ruang yang mengatakan sekiranya berlaku pertambahan pendapatan kepada kerajaan persekutuan, mereka kena agihkan juga hasil itu kepada negeri,” katanya. 

Bakar berkata, hasil hutan di Kedah tidak boleh dikorbankan sebab ia merupakan kawasan tadahan perairan. 

“Sebab itu saya katakan hasil GST perlu diagihkan kepada kerajaan negeri supaya ia adil. Sepatutnya dalam Bajet 2016, Kedah juga menunggu lebih banyak projek mega seperti pembinaan lebuh raya timur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). 

“Secara keseluruhannya, Bajet 2016 adalah baik tapi kita mengharapkan lebih banyak projek yang tidak dinyatakan dapat diberi agihan yang baik kepada negeri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian