KUALA LUMPUR – Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi – pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura – antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan, dan tertuduh yang memakai pakaian lokap dan bergari hanya mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Majistret Siti Radzeah Kamarudin tidak membenarkan ikat jamin.
Ketika prosiding, peguam Mohamad Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan jaminan, dan meminta tarikh pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi dipercepatkan.
Katanya, anak guamnya telah ditahan reman selama 29 hari, manakala Chang ditahan lima hari.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Masri Ahmad Daud membantah permohonan itu kerana Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang dipertuduhkan adalah berada di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang tidak membenarkan tertuduh dijamin.
Masri memohon mahkamah memberi tempoh sehingga sebulan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
“Kes terhadap kedua-dua tertuduh adalah sama seperti kes lain, seperti kes dadah dan kes bunuh. Pendakwaan perlukan masa. Kes ini melibatkan sabotaj, menjejaskan negara, ia lebih serius daripada kes bunuh. Kami hanya menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya.
Mohamad Hanif memohon pendakwaan menentukan terlebih dahulu status kes melibatkan anak guamnya, sama ada di bawah SOSMA atau hanya Kanun Keseksaan.
“Sekiranya kes ini tidak tergolong di bawah SOSMA, saya pohon kes ini dipindahkan segera (ke Mahkamah Tinggi) supaya kedua-dua tertuduh tidak dihalang daripada dijamin.
“Khairuddin telah ditahan pada 23 Sept di bawah SOSMA. Esok telah ditetapkan untuk Mahkamah Tinggi mendengar permohonan habeus corpus terhadapnya. Tetapi hari ini didakwa atas pertuduhan ini pula,” katanya.
ISTERI Khairuddin, pelakon Umie Aida, yang tiba di mahkamah bersama anggota keluarga pada pukul 9 pagi, sempat berbual seketika bersama suaminya ketika prosiding ditangguhkan. |
Berikutan pertikaian tersebut, Majistret Siti Radzeah memerintahkan pihak pendakwaan menentukan sama ada pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh melibatkan SOSMA ataupun tidak serta menetapkan 26 Okt untuk sebutan.
Mohamad Hanif memohon Khairuddin ditahan di penjara Kajang seperti dipohon pihak keluarga namun Majistret memaklumkan beliau tidak mempunyai bidang kuasa dan hanya boleh merekodkan sahaja permohonan tersebut.
Di awal prosiding, Mohamad Hanif memohon mahkamah merekodkan bahawa pihaknya akan mencabar sebarang pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya kerana katanya ia melanggar perlembagaan.
Chang diwakili peguam Zainur Zakaria.
Khairuddin dan Chang dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 9.40 pagi.
Sementara itu, isteri Khairuddin, pelakon Umie Aida, yang tiba di mahkamah bersama anggota keluarga pada pukul 9 pagi, berbual seketika bersama suaminya ketika prosiding ditangguhkan.
Turut hadir adik Umie Aida, pelakon Betty Ahmad. – BERNAMA