Khairuddin, Matthias Tidak Ditahan Di Bawah SOSMA - Peguam Negara

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
PEGUAM Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang Wen Chieh tidak disabitkan dakwaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) seperti yang didakwa mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, kedua-dua individu itu didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Menerusi kenyataan media yang diadakan di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini, Mohamed Apandi menjelaskan Sosma merupakan satu prosedur undang-undang yang menyediakan langkah-langkah khas untuk memudahkan penyiasatan dan pendakwaan berhubung kes ‘kesalahan keselamatan’.

Kesalahan keselamatan di bawah Sosma juga adalah tidak hanya tertakluk kepada tindakan pengganas yang menganggu ketenteraman awam dan negara seperti mana yang didakwa Dr. Mahathir.

“Apabila Sosma digubal, ‘kesalahan keselamatan’ adalah kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan dan Bab VIA Kanun Keseksaan (kesalahan yang berkaitan dengan keganasan),” kata beliau.


Semalam, Tun Dr Mahathir mempersoalkan pendakwaan terhadap Khairuddin dan Matthias mengikut Sosma yang dikatakan sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa.

Mengikut fakta kes, Khairuddin dan Matthias semalam didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atau tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun. -Kedahnews.com