Khalid Samad Jamin Parti Amanah Berakhlak Mulia Ikut Islam Sebenar

Khalid Abd. Samad
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan akan menjadi sebuah parti politik yang benar-benar menzahirkan kemulian akhlak Islam untuk semua.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad berkata, kemuliaan akhlak Islam akan dizahirkan untuk memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan menerusi parti yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, itu.

“Kami yakin ini dapat kami lakukan bersama pemerintahan yang berpaksikan prinsip keadilan dan demokratik seperti yang diperjuangkan Pakatan Harapan,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Amanah diwujudkan oleh bekas pemimpin PAS yang kuat mendokong pro-Pakatan Rakyat yang disingkirkan para perwakilan PAS dalam pemilihan parti itu pada Jun lalu.

Bekas pemimpin PAS terbabit didakwa cenderung untuk bersengkongkol dengan DAP dalam beberapa isu sensitif termasuk membabitkan aspek akidah dan hudud.

Tindakan Amanah yang berjaya membawa ramai penyokong PAS menyertai parti baru tersebut turut dikecam pemimpin PAS kerana dianggap sebagai satu pengkhianatan ke atas Islam.

Amanah turut membentuk kerjasama baharu bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan yang ditubuhkan semata-mata untuk menumbangkan UMNO. -Kedahnews.com