Khalid Sedia Hadir Pertemuan Ketua Pasukan Petugas Khas 1MDB

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
JOHOR BAHARU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menegaskan beliau bersedia untuk hadir apabila dipanggil pada pertemuan dengan ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khalid berkata beliau akan berhubung dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

“Tiada masalah apabila dipanggil, nanti saya akan hadir dan sesuai dengan masanya. Saya akan berhubung dengan Tan Sri Abu Kassim, saya tidak tahu siapa yang akan memulakan pertemuan itu,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Inspektor kepada Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Semalam, Abu Kassim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1MDB dan mereka ialah Khalid, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Abu Kassim berkata pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan pasukan petugas khas tersebut yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal berkaitan dengan 1MDB. – BERNAMA