Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman |
KUANTAN - “Suruh dia beristighfar dan tinggalkan DAP.’’
Demikian reaksi Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berhubung hasrat Pengerusi DAP negeri, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang mahu mengajak beliau mengadakan perbincangan tentang isu kandungan teks khutbah Aidiladha yang dikatakan parti itu sebagai menentang Islam.
Abdul Rahman menegaskan, beliau berpegang kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran yang menjelaskan larangan orang mukmin berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.
Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan mengadakan perbincangan dengan DAP kerana apa diperkatakan di dalam khutbah itu sudah cukup jelas dan tidak perlu diperkatakan perkara yang sama.
“Sepatutnya berjumpa saya dahulu, bukan sebelum isu ini dibangkitkan. Sebagai orang yang hendak menghormati agama Islam, jika dia tidak tahu, hendaklah datang berjumpa saya.
“Saya rasa dia patut bersyukur dan beristighfar. Bagi saya benda ini jelas, yang mana kita sebut dalam khutbah itu adalah berpandukan kepada ayat di dalam al-Quran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
DAP hari ini dilapor memutuskan untuk menangguhkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kerana tidak menarik balik teks khutbah Aidiladha yang didkawa kononnya parti menentang Islam.
Tengku Zulpuri Shah berkata, pihaknya akan menghubungi Abdul Rahman bagi membincangkan isu berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu sebelum ini dilaporkan memberi masa lima hari untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Abdul Rahman sekali lagi menegaskan, kandungan teks khutbah itu tidak pernah memfitnah DAP, sebaliknya apa yang dikatakan itu adalah benar kerana banyak bukti jelas yang menunjukkan parti itu menentang Islam.
“Contohnya dalam isu hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang bermakna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah menafikan hak orang lain.
“Kita tidak fitnah parti itu. Kita sebagai orang Islam, jika lihat perkara itu mungkar, kita kata itu mungkar. Itu bukan fitnah, kenapa pula hendak fitnah,’’ katanya.
Jelasnya, teks khutbah Aidiladha tersebut tidak pernah menyatakan bahawa orang yang masuk DAP itu menentang Islam, sebaliknya apa yang dikatakan adalah parti berkenaan yang menentang Islam.
Katanya, jika DAP mahu mengadakan pertemuan, mereka perlu berjumpa dengan semua ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Pahang yang menerbitkan khutbah di negeri ini.
“Namun sebelum itu, parti itu perlu mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dahulu kerana baginda adalah Ketua Agama Islam bagi negeri ini. Saya tiada kuasa hendak berjumpa sebab saya hanya sebahagian daripada jawatan kuasa ini. Jika berbincang dengan saya tidak berguna juga.
“Dia patut berjumpa dengan semua ahli jawatankuasa sebab untuk menerbitkan khutbah ini bukan sewenang-wenangnya dan memerlukan perbincangan daripada semua ahli jawatankuasa,’’ katanya.
Sumber: Utusan