Datuk M.Nasir |
Penyanyi Datuk M.Nasir berkata komposer senior tempatan gagal mengikut trend muzik terkini menyebabkan mereka menghadapi persaingan sengit dengan komposer muda.
M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, bagaimanapun menyifatkan perkara itu adalah normal yang dihadapi oleh komposer muzik di mana-mana negara.
"Perkara ini berlaku di mana-mana negara apabila komposer senior terpaksa mengejar trend semasa agar lagu diterima. Diakui tidak semua lagu yang dihasilkan memikat pendengar.
"Kita perlu ikut pasaran muda. Macam saya, lagu yang saya hasilkan sentiasa ke depan. Sampaikan orang muda pula tak terkejar.
"Jadi nak hasilkan lagu ni, kita perlu seimbang, daripada segi idea dan trend," katanya kepada mStar Online.
M. Nasir ditemui pada sidang media konsert M. Nasir Kembara yang diadakan di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, di sini pada Selasa.
Bekas vokalis kumpulan Kembara yang popular sekitar tahun 1980-an itu berkata, selepas melihat kejayaan siri konsert jelajahnya di Kuantan, Pasir Gudang dan Pulau Pinang sebelum ini, beliau yakin lokasi terakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor mampu menarik lebih ramai peminat.
Ia bakal berlangsung pada 7 November depan pukul 8.30 malam.
"Macam biasa, saya akan bagi persembahan yang lebih baik berbanding konsert-konsert sebelum ini.
"Saya mengharapkan ia berjaya bukan saja dari sudut sambutan peminat tetapi juga daripada segi persembahan yang akan saya bawakan pada malam konsert,” katanya.
Persembahan pembukaan konsert itu akan diserikan dengan penyanyi Fynn Jamal.
Nama konsert Kembara ini dipilih bukan atas faktor M. Nasir sebagai anggota kumpulan Kembara sebelum ini tetapi kerana perjalanan seni beliau sepanjang berada dalam industri dan kekal sehingga sekarang.
Bagi yang ingin menempah tiket, boleh layari wwww.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600.
Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM100, RM200 dan RM350.
Sumber: mStar