NEW YORK – Telefon pintar skrin lebar iPhone 6S Plus yang dilancarkan firma terkenal Apple pada September lalu, hanya diperbuat daripada komponen yang jika dijumlahkan harganya baharu mencecah AS$236 (RM1,017).
Anehnya, pengeluar antarabangsa itu menetapkan harga jualan runcit di pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda aras untuk seluruh dunia pada AS$749 (RM3,229); hampir tiga kali ganda lebih mahal daripada harga kos.
Perkara tersebut dilaporkan media tempatan baru-baru ini hasil pembongkaran oleh sebuah syarikat penganalisis teknologi maklumat terkenal yang berpusat di Colorado, AS dan ditubuhkan sejak 1959, IHS Technology Inc.
Berdasarkan kajian syarikat itu yang mempunyai 8,800 pekerja di 31 buah negara, gajet pintar keluaran Apple cuma diperbuat daripada bahan biasa yang sering diguna pakai pihak industri pengeluar komponen elektronik.
Komponen termurah misalnya menurut IHS iaitu bahan simpanan flash kira-kira AS$0.35 (RM1.50) per gigabyte (GB), namun untuk kapasiti 64 GB, Apple didapati menetapkan AS$17 (RM73) lebih mahal daripada harga 16 GB.
Bayangkanlah di pasaran, pemborong Apple dikesan boleh menjual iPhone 6S Plus dengan kapasiti 64 GB pada harga runcit AS$100 (RM431) lebih mahal berbanding model biasa untuk penyimpanan flash hanya 16 GB.
Di samping itu IHS mendapati, Apple membelanjakan kos AS$52.5 (RM226) untuk lapisan sentuh iPhone 6S Plus yang mampu peka tekanan dengan ciri-ciri terbaharu 3D Touch walhal harga kos sebenarnya cuma AS$10 (RM43).
*Harga komponen iPhone 6S Plus yang lebih terperinci boleh dilihat melalui tautan berikut ini. |
Analisis harga terperinci yang dilakukan oleh IHS Technology bagaimanapun didapati mempunyai beberapa kelemahan tertentu dan perkara berkenaan turut diakui oleh Pengarah Penyelidik Kanannya, Andrew Rassweile.
“Laporan analisis ini memang tidak memasukkan kos untuk harga asas lain yang mungkin terlibat, seperti caj untuk penghantaran material, aktiviti penyelidikan, pengembangan komersial dan pemasaran,” ujar beliau.
Sekiranya ditolak habis semua faktor pemboleh ubah tersebut untuk menghasilkan satu unit iPhone 6S Plus, maka Apple sebenarnya sudah pun boleh mendapat keuntungan bersih secara ‘atas kertas’ kira-kira AS$515 (RM2,220).
Namun apa yang menarik, analisis IHS tersebut memberikan pemahaman, berapakah kos asal yang dikeluarkan oleh Apple untuk membeli setiap komponen dalam pembuatan iPhone 6S Plus. – Agensi