KR1M Catat Jualan RM829 Juta Sejak 2011 – Ahmad Bashah


KUALA LUMPUR – Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah mencatat jumlah jualan terkumpul sebanyak RM829 juta sejak dilaksanakan pada 2011, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata jumlah berkenaan jauh mengatasi perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan sebanyak RM82.5 juta bagi melaksanakan KR1M, meliputi kos infrastruktur dan prasarana seperti pengubahsuaian premis dan peralatan berkaitan serta kos logistik barangan 1Malaysia Kedai Rakyat (1MKR).

“Dari segi jualan, ia telah meningkat dari semasa ke semasa malah ada KR1M mencatatkan jualan sehingga RM6 juta setahun,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) yang bertanyakan implikasi kewangan kepada kerajaan sejak KR1M dilaksanakan dan pulangan ekonomi yang dinikmati oleh penduduk setempat hasil perlaksanaan program tersebut.

Ahmad Bashah berkata sehingga kini, sebanyak 170 KR1M telah dibangunkan di seluruh negara yang menawarkan penjimatan secara langsung kepada rakyat menerusi penawaran barangan keperluan berjenama 1MKR pada harga yang lebih murah tetapi berkualiti.

“Penubuhan KR1M juga telah mewujudkan persaingan perniagaan yang sihat kepada barangan jenama lain agar memasarkan produk mereka pada kadar harga yang lebih kompetitif kerana pengguna berhak membuat pilihan terhadap barangan yang menepati citarasa dan bajet masing-masing,” katanya.

Selain itu, katanya kewujudan KR1M akan membolehkan syarikat pengeluar termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan yang menepati syarat-syarat memasarkan produk masing-masing sekali gus membantu perkembangan syarikat-syarikat berkenaan dan memberikan kesan berganda terhadap ekonomi.

Di samping itu, katanya perniagaan kecil juga boleh mendapatkan bekalan barangan daripada KR1M untuk keperluan kedai mereka dengan harga yang berpatutan.

Menjawab soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) mengenai perancangan menaik taraf KR1M, Ahmad Bashah berkata kerajaan menyasarkan untuk membangunkan KR1M di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara sebelum membuat sebarang perancangan menaik taraf KR1M. – BERNAMA