Kuala Lumpur Kedua Paling Popular Selepas Dubai - Ranking MTSI2015

Kuala Lumpur - Indeks Membeli-belah Pelancongan Muslim Mastercard-Crescent Rating (MTSI2015) menyatakan Kuala Lumpur menduduki tempat kedua dalam senarai 40 bandar di dunia sebagai bandar raya beli-belah popular bagi pelancong Muslim.

Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip, Fazal Bahardeen berkata, MTSI2015 menunjukkan pelancong Muslim membelanjakan AS$62 bilion di seluruh dunia untuk tujuan membeli-belah dan makan minum pada 2014.

Katanya, MTSI2015 menilai secara mendalam dan terperinci data yang meliputi aktiviti membeli-belah pelancong Muslim dari 40 bandar antarabangsa.

“Kajian ini memberi tumpuan kepada dua komponen perbelanjaan terpenting pelancong Muslim iaitu membeli-belah dan makan minum. MTSI melengkapkan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2015 yang dilancarkan awal tahun ini.

“Ia juga membolehkan kami menawarkan gambaran penuh mengenai bagaimana pelancong Muslim membelanjakan wang mereka ketika melancong,” katanya pada sidang media di Forum Inovasi Mastercard 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Eksekutif Kumpulan, Produk Global & Penyelesaian Asia Pasifik Mastercard, Matthew Driver.

Fazal berkata, Kuala Lumpur memperoleh 73.3 mata dalam indeks berkenaan, sekali gus meletakkannya di tempat kedua dalam senarai penuh. Dubai pula mengungguli kedudukan keseluruhan pelancongan membeli-belah Muslim dengan 79.5 mata, sementara Singapura memperoleh 71.6 mata.

Beliau berkata, GMTI 2015 menunjukkan pada 2014, segmen pelancongan Muslim bernilai AS$145 bilion, dengan 108 juta pelancong Muslim mewakili 10 peratus daripada keseluruhan ekonomi pelancongan.

“Ia dijangka berkembang kepada 150 juta pelawat menjelang 2020 dan mewakili 11 peratus daripada segmen pasaran dengan nilai terbabit dijangka meningkat sehingga AS$200 bilion.

“Oleh itu, lebih banyak potensi pelancongan Muslim dapat diperoleh pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: myMetro