Kerajaan Peruntuk RM1.2b Tambah Baik Infrastruktur Telekomunikasi


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disediakan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion bagi menambahbaik infrastruktur telekomunikasi negara pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan itu antara lain untuk menaikkan kelajuan internet luar bandar kepada empat kali ganda daripada lima megabit sesaat (Mbps) kepada 20 Mbps.

Peruntukan tersebut turut meliputi kos membangunkan Insfrastruktur Tulang Belakang Fiber Negara (National Fiber Backbone Infrastructure), jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut, katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertema ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi meningkatkan kualiti audio visual dan tambah nilai kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional.

Menyentuh mengenai program mensejahterkan penduduk luar bandar, beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan tersebut yang telah menjadi keutamaan kerajaan sejak merdeka.

Najib berkata liputan jalan luar bandar hari ini telah meningkat daripada 46,000 kilometer pada 2009 kepada 51,000 kilometer sehingga kini, manakala sebanyak 98 peratus mendapat bekalan elektrik di kawasan luar bandar dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.

Dalam Bajet 2016, Perdana Menteri berkata sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membina dan menaiktaraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara dan RM200 juta untuk menaiktaraf jalan di kawasan tanah rancangan Felda.

Sejumlah RM878 juta juga diperuntukkan bagi projek bekalan elektrik yang membabitkan 10,000 buah rumah manakala RM568 juta bagi projek bekalan air yang memanfaatkan 3,000 buah rumah.

Selain RM60 juta untuk program Ameniti Sosial yang memberi tumpuan kepada projek perparitan bagi mencegah banjir di enam buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak, katanya.

Najib berkata sebagai pemangkin keusahawanan luar bandar dan komuniti desa, sejumlah RM70 juta disediakan bagi meneruskan program Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) dan program Desa Lestari dan RM67 juta pula diperuntukkan untuk Projek Kenderaan Bas MARA bagi pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomikal di luar bandar. – BERNAMA